Wujudkan Perlembagaan Persekutuan Dan MA63 Baharu – Jeffrey Kitingan
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 7 Mei 2021 – Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan mahu Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia (MA) yang baharu diwujudkan kerana menurutnya, Perlembagaan yang sedia ada sekarang bukanlah Perlembagaan Malaysia.
Dakwanya, menurut Perlembagaan Persekutuan yang asal, persekutuan yang terbentuk pada 1957 dikenali sebagai Malaya.
Perlembagaan itu kemudian dikenali sebagai Perlembagaan Malaysia selepas pembentukan negara merangkumi Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 seterusnya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan.
“Jika itu adalah persekutuan, yang kemudiannya persekutuan Malaya, apa yang Sabah dan Sarawak buat dalam persekutuan itu? Di manakah Persekutuan Malaysia?”
“Jadi jika kamu mahu membentuk Persekutuan Malaysia, kami perlu mempunyai satu perjanjian baharu, perlembagaan baharu di mana Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang ketika ini dipanggil wilayah, mestilah setaraf,” ujar Kitingan.
“Mengapa tidak kita (tiga entiti ini) duduk bersama dan wujudkan satu Perlembagaan Persekutuan baharu untuk mengatasi isu dan masalah membabitkan Sabah dan Sarawak kerana ini yang mengekang kita di Malaysia?” tambahnya lagi
Dakwa Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu lagi, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga tidak sesuai dengan aspirasi Sabah dan Sarawak.
“Ini tidak sesuai dengan aspirasi kami. Kami perlu membentuk sebuah kesatuan Malaysia di mana negeri-negeri merdeka Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan bersatu (sebagai satu negara). Apa yang kita ada sekarang terlalu rumit, adakah kita persekutuan atau kesatuan?”
“Hala tujunya adalah untuk Sabah lebih berdikari, dapat memenuhi aspirasi sendiri dan tidak terikat dengan agenda Malaya.”
“Sekiranya anda mahukan Malaysia berjaya, anda mesti memperbetulkan kesalahan dan kesilapan yang telah berlaku selama ini. Anda mesti menyelesaikan ketidakadilan dan ketidaksamaan. Barulah kita dapat bergerak maju.”
Menurut Ahli Parlimen Keningau itu lagi, Sabah tidak bergerak maju seperti yang diinginkan oleh rakyat Sabah kerana terlalu bergantung kepada kerajaan persekutuan.
“Kerajaan persekutuan telah menjadikan Sabah terlalu bergantung kepadanya dari aspek keselamatan, kewangan dan pembangunan.”
“Bukan hanya itu, parti politik dari Semenanjung datang ke Sabah dan bertanding di kerusi kami.”
“Dengan berbuat demikian mereka mengambil hak kita untuk bersuara, sehingga mengurangkan peranan kita sebagai rakan setaraf.”
Kitingan memberi repons terhadap soalan yang dikemukakan berhubung Sabah dalam satu rakaman video yang ditayangkan “Beyond the 2020 Sabah Pool: Sabah Moving Forward” ketika forum virtual oleh Pertubuhan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS).