Tempatan

Cuaca Panas Kembali Normal Pertengahan Tahun Ini – KP METMalaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2024 – Cuaca panas berikutan fenomena El Nino yang melanda negara dijangka kembali normal pada pertengahan tahun ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah.

Menurutnya, ketika ini litupan awan dan taburan hujan secara lazimnya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan utara Semenanjung iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan pedalaman Pahang dan Kelantan.

Akan tetapi fenomena tersebut adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.

“Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.”

“Dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 celsius pada awal petang.”

Dalam pada itu, Muhammad Helmi memaklumkan operasi pembenihan awan (OPA) akan dilakukan sekiranya diperlukan bagi tiga tujuan utama.

“Ia termasuk untuk meningkatkan paras air di empangan bagi kegunaan domestik dan janakuasa elektrik, pengairan untuk pertanian di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan bagi mengurangkan kesan jerebu teruk.”

Jelasnya, kerajaan negeri dikehendaki mengemukakan permohonan untuk menjalankan OPA dan METMalaysia akan meneliti permohonan terbabit untuk menentukan kesesuaian bagi menjalankan OPA.

“Bagi menangani kesan jerebu pula, METMalaysia akan berpandukan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan iaitu apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat (melebihi 151 IPU) untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam secara berterusan, maka OPA perlu dijalankan tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera.”

“OPA akan dijalankan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: