Wartawan Israel Ceroboh Kota Suci Mekah Untuk Liputan TV
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MEKAH, 21 Julai 2022 – Seorang wartawan media Israel berjaya menyelinap masuk ke dalam kota suci Mekah yang hanya boleh dikunjungi oleh umat Islam sekali gus membuat rakaman video dirinya di kota suci tersebut.
Gil Tamari, wartawan Channel 13, didapati menaiki sebuah kenderaan di sekitar tanah suci bersama seorang individu yang dipercayai sebagai pemandu pelancong tempatan. Walau bagaimanapun, wajah pemandu tersebut dikaburkan dan suaranya disunting sepanjang rakaman berlangsung.
Menerusi rakaman video yang disiarkan di Channel 13, Tamari dilihat memasuki pintu gerbang Mekah yang menjadi pintu masuk kota suci menuju ke Masjidil Haram dan dilarang bagi orang bukan Islam untuk melepasinya, lapor Middle East Eye.
Dia turut berkesempatan bersiar di Gunung Arafah serta mengambil swafoto di lokasi tersebut di mana Nabi Muhammad S.A.W. menyampaikan khutbah terakhir dan tempat berkumpulnya umat Islam ketika menunaikan ibadah haji.
Pencerobohan Tamari ke dalam kota suci Mekah mencetuskan kecaman pelbagai pihak dan hashtag dalam bahasa arab #YahudiDiTanahHaram tular di kalangan masyarakat Arab Saudi di laman Twitter.
Seorang pengguna Twitter meluahkan kekesalannya dengan mengatakan, “Individu terhormat di Mekah dan ulama-ulama besar seperti Dr Musa Al-Sharif berada dalam penjara Saudi, namun Yahudi Zionis sedang berkeliaran sekitar Mekah.”
اہل مکہ کے شرفا اور بڑے بڑے اہل علم جیسے ڈاکٹر موسیٰ الشریف تو ہیں سعودی جیلوں میں مگر ایک صیہونی یہودی مکہ میں دندناتا پھر رہا ہے۔ موصوف “جیل تماری” اسرائیلی چینل ۱۳ کے نمائندے ہیں اور مکہ میں سلفیاں لیتے پھر رہے ہیں
سعودی ان ہیش ٹیگز کے ساتھ ٹویٹ کر رہے ہیں#يهودي_في_الحرم pic.twitter.com/QcBPdeE4GN
— Munim (@Munimusing) July 19, 2022
Seorang pengguna lain, dipercayai merupakan warga Israel pula mengharapkan agar Tamari diserahkan kepada pihak berkuasa Saudi.
מקווה שמדינת ישראל תסגיר אותך לשלטונות הסעודים.
— E/H BS 🇮🇱 (@ElihaiS) July 18, 2022
Terbaru, Tamari membuat permohonan maaf di laman Twitternya dan berkata, “Lawatan ke Mekah ini tidak bertujuan untuk menyinggung perasaan orang Islam, atau orang lain. Jika ada yang tersinggung dengan rakaman ini, saya minta maaf.”
Tambahnya, rakaman tersebut dibuat sebagai usaha mempamerkan kepentingan Mekah dan keindahan agama.
Umum mengetahui bahawa orang bukan Islam dilarang sama sekali untuk memasuki kota suci Mekah dan beberapa kawasan di Madinah. Cubaan masuk boleh mengakibatkan penalti, termasuk denda dan pengusiran.