Tempatan

Warganegara Malaysia Tiada Sebab Halang Usaha Jadikan Teks Rasmi Perlembagaan Bahasa Melayu – Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Februari 2023 – “Sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai jati diri bangsa tersendiri, tiada sebab mana-mana pihak cuba menghalang usaha untuk menjadikan rasmi teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu,” ujar Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain, Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang.

Beliau berkata demikian bagi menegur tindakan sesetengah pihak yang cuba menidakkan teks Bahasa Melayu sebagai teks rasmi Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Pengasas Jurisprudens Watan ini menegaskan, undang-undang Perlembagaan kita bukan bermula pada tahun 1957 dan teks asalnya Bahasa Melayu bertulis Jawi.

Jika kita perhalusi terma rujukan Suruhanjaya Reid jelas menunjukkan Negeri Melayu sudah mempunyai undang-undang Perlembagaan dalam bentuk traditional berasaskan pada adat Melayu.

Tambah beliau, apabila Bahasa Inggeris digunakan sebagai teks rasmi, teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu pun diadakan sama. Hanya bagi tujuan kemudahan bagi kalangan hakim dan peguam yang lebih terlatih dengan Bahasa Inggeris ketika itu, maka teks Bahasa Inggeris mengatasi jika berlaku percanggahan kefahaman.

Namun begitu, prinsip English Common Law dan kaedah ekuiti hanya terpakai jika ada lakuna serta terdapat syarat pemakaian keadaan tempatan dalam amalan kehakiman seperti disyaratkan oleh Seksyen 3, Akta Undang-Undang Sivil 1956 (semakan 1972).

Akibatnya, hakim dan peguam lebih selesa merujuk istilah undang-undang mengikut tafsiran Barat walaupun bercanggah dengan keadaan tempatan kerana teks yang rasmi adalah dalam Bahasa Inggeris.

Ketika ditanya kenapakah pentingnya teks Bahasa Melayu digunakan, beliau berkata, teks Bahasa Melayu penting untuk digunakan kerana kini para hakim dan peguam ramai yang sudah menguasai Bahasa Melayu.

Malah, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman(JAC) perlu menapis calon hakim yang benar-benar boleh menguasai Bahasa Melayu untuk dicadangkan sebagai hakim.

Dari sudut prinsip undang-undang pula, penggunaan teks Bahasa Melayu akan menghidupkan prinsip keadaan tempatan kerana rujukan istilah Bahasa Melayu pasti dilihat dalam konteks Bahasa Melayu dan rujukan sumber tempatan, termasuklah adat Melayu.

Jadi persoalan adakah benar teks Bahasa Inggeris lebih utama daripada teks Bahasa Melayu, Dr Wan Ahmad Fauzi berkata, sebenarnya dengan pindaan Perlembagaan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan teks Perlembagaan dalam Bahasa Melayu sebagai teks rasmi menunjukkan ketinggian teks Bahasa Melayu, namun begitu, proses tersebut perlu berlaku.

Ditanya sama ada benarkah cakap-cakap bahawa Sabah dan Sarawak perlu bersetuju sebelum teks Bahasa Melayu diabsahkan, Dr Wan Ahmad Fauzi berkata, sebenarnya, syarat tersebut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan berhubung dengan undang-undang yang menyentuh Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, jelasnya, Bahasa Melayu sudah ternobat lama sebagai Bahasa Antarabangsa lebih awal daripada Bahasa Inggeris, jadi sekarang, apa yang perlu dilakukan adalah buat apa yang wajar untuk menjamin pelaksanaan pentadbiran dengan penuh keadilan mengikut di mana bumi kita berpijak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: