Warga Rohingya Mengaku Tidak Bersalah Rogol, Amang Seksual Dua Beradik
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PULAU PINANG, 03 Ogos 2022 – Ibrahim Abdul Salam, 55, seorang tukang sapu berbangsa Rohingya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan rogol dan amang seksual ke atas dua beradik berumur 12 dan 8 tahun.
Lapor sebuah portal tempatan, Ibrahim didakwa telah merogol kanak-kanak berusia 12 tahun tersebut antara Januari hingga Disember tahun lalu di sebuah rumah di Seberang Perai Tengah.
Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak tersebut di lokasi yang sama pada 24 Julai baru-baru ini.
Tertuduh juga dibacakan dengan pertuduhan bahawa tertuduh telah melakukan perbuatan rogol dan amang seksual ke atas adik mangsa pertama yang hanya berusia 8 tahun.
Pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah supaya tiada ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh bagi memelihara mangsa, susulan tempat tinggal tertuduh yang berhampiran dengan rumah mangsa; selain bagi memelihara saksi-saksi lain.
Peguam bagi pihak tertuduh pula tidak memohon sebarang jaminan untuk tertuduh.
Mahkamah memerintahkan supaya tertuduh tidak diberi jaminan dan bakal ‘kembali’ ke mahkamah pada 2 September ini.