Warga Asing Dan Kanak-Kanak Lengkap Vaksin Dibenarkan Solat Jemaah – JAWI
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
PUTRAJAYA, 05 November 2021 – Warganegara asing yang telah mendapat vaksin lengkap dibenarkan menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bermula hari ini.
Kebenaran sama juga diberikan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke atas yang telah mendapat vaksin lengkap.
Ketetapan terbaharu itu dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Ketua Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail, pihaknya turut menetapkan penjarakan fizikal antara jemaah dikurangkan daripada 1.5 meter kepada 1 meter.
“Selain itu, murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) juga dibenarkan menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.”
“Majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis aqiqah dan lain-lain majlis sosial pula dibenarkan untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” tambah beliau.
Mengakhiri kenyataan, Datuk Mohd Ajib menasihatkan orang ramai untuk mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).