Walaupun ‘Ditegah’ Pakar, Putrajaya Meterai Perjanjian Persempadanan Maritim Bersama Indonesia
KUALA LUMPUR, 08 Jun 2023 – Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo telah menandatangani perjanjian berkenaan hal persempadanan wilayah lautan di Laut Sulawesi dan Selat Melaka.
Perjanjian tersebut telah dimeterai walaupun beberapa orang pakar maritim masih ragu-ragu berkenaan cadangan bagi menyelesaikan pertikaian mengenai hal persempadanan wilayah lautan itu.
Perjanjian tersebut, beserta beberapa perjanjian lain telah berjaya ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin tersebut sewaktu Presiden Indonesia itu berada di dalam sesi lawatan kerja ke Malaysia.
Dalam sebuah kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu menyatakan bahawa perjanjian Selat Melaka beserta perjanjian Laut Sulawesi adalah dua di antara enam perjanjian yang telah ditandatangani pada 08 Jun.
Pada kenyataan yang sama, keduanya telah menzahirkan komitmen mereka dalam menyegerakan proses-proses dalaman bagi merealisasikan “kemasukan serentak” terhadap perjanjian yang menjadi persoalan.
Sebelum ini, beberapa orang pakar maritim yang terlibat dalam mempertahankan hak wilayah perairan Malaysia telah memberi amaran kepada Putrajaya agar tidak menandatangani mana-mana perjanjian baharu bagi menyelesaikan isu pertelingkahan berkaitan persempadanan dengan Indonesia.
Mereka juga telah memberi amaran kepada Putrajaya bahawa sebarang perubahan polisi daripada pentadbiran sebelumnya berkaitan dengan dua kawasan yang menjadi perselisihan itu mestilah turut disertai oleh kerajaan Johor dan Sabah yang mana perairan kedua negeri ini yang akan paling terkesan dengan sebarang perjanjian berkaitan perairan itu.