Tempatan

Wajibkan Gaji Minimum RM1,500 Kepada Sektor Swasta – Setiausaha MTUC

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 16 Mac 2022 – “Perdana Menteri seharusnya mewajibkan gaji minimum RM1,500 kepada sektor swasta melalui perintah gaji minimum dan bukannya hanya memberi nasihat kepada syarikat.”

“Pengakuan Perdana Menteri bahawa pekerja yang mempunyai pendapatan rendah boleh dibantu dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 adalah kenyataan yang benar.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor dalam satu kenyataan media yang dilaporkan oleh portal Sinar Harian beberapa hari lalu.

Sehubungan dengan itu, Kamarul Baharin Mansor berkata, kajian dan perbincangan telah selesai dijalankan melibatkan kerajaan, kesatuan sekerja serta persatuan majikan dan sepatutnya kerajaan boleh mewajibkan kadar yang baharu setelah kajian dikemukakan kepada kabinet.

“Jutaan pekerja yang berpendapatan rendah yang menunggu gaji minimum RM1,500 sangat teruja dengan pengumuman Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang rancak berjalan,” ujar beliau lagi.

Berikutan itu beliau menegaskan bahawa pengumuman tersebut wajar dijadikan asas dan panduan kepada syarikat swasta bahawa sudah tiba masanya gaji minimum RM1,500 dilaksanakan atas alasan rakyat tertekan dengan kos sara hidup.

“Sudah sampai masanya Kabinet mengumumkan gaji minimum yang baharu seperti di dalam Akta Gaji Minimum yang memerlukan kerajaan mengkaji gaji minimum sekali dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya bersama dengan MTUC masih lagi menunggu masa yang sesuai berjumpa dengan Perdana Menteri untuk berbincang mengenai kesusahan pekerja dalam mendepani kos sara hidup.

“Kewajaran gaji minimum RM1,500 adalah keutamaan MTUC dalam perbincangan itu nanti,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: