NGO

Wajarkah Mageran? – NAJM

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Rata-rata rakyat Malaysia sudah mula menyedari keperluan sebuah kerajaan yang berfungsi. Darurat yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri sejak 11hb Januari 2021 sehingga kini dilihat masih gagal memberikan impak seperti yang diharapkan oleh rakyat. Kerajaan “darurat” yang ada pada hari ini sering dianggap gagal.

Apakah pilihan yang ada untuk Malaysia? Bubarkan parlimen dan adakan PRU15 untuk membolehkan rakyat memilih wakil-wakil rakyat yang lebih meyakinkan atau YDPA terus menggantung Parlimen dan menubuhkan MAGERAN sehingga negara pulih dari pandemik dan lebih stabil sebelum PRU15 diadakan mungkin selepas 1 atau 2 tahun kemudian? Persoalannya, bersediakah YDPA mahupun Perdana Menteri berbuat demikian? Dan sejauh mana pula MAGERAN dapat meletakkan negara dalam keadaan yang lebih stabil dari segi politik ekonomi mahupun sosial?

Apa itu MAGERAN? Majlis Gerakan Negara ataupun MAGERAN telah diwujudkan pada tahun 1969 semasa negara mengalami situasi atau krisis yang mengancam keselamatan negara dan MAGERAN telah diwujudkan untuk menstabilkan negara dan ianya telah dibubarkan pada tahun 1971 apabila pemerintahan berparlimen dipulihkan semula dan keadaan negara kembali tenang dan stabil. Makanya, MAGERAN boleh diwujudkan semula sebagai sebuah badan yang mentadbir negara menggantikan kabinet yang dilihat gagal berfungsi sekarang. YDPA boleh menggantung terus Dewan Rakyat dan mewujudkan MAGERAN. Ahli-ahli MAGERAN pula seharusnya dilantik di kalangan mereka yang profesional dan juga pegawai-pegawai perkhidmatan awam.

Melihat kepada situasi negara sekarang, NAJM berpendapat adalah wajar MAGERAN diwujudkan sebelum keadaan menjadi lebih membimbangkan. Hasutan ke arah mewujudkan situasi tegang yang mengancam sistem Raja Berperlembagaan negara sedang berkumandang tanpa kawalan yang cekap. Sentimen ke arah mewujudkan situasi yang mengganggu ketenteraman awam sedang berlegar-legar di media sosial.

Kita juga boleh melihat ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan keadaan negara dengan memperkecilkan peranan YDPA dan Majlis Raja-raja dan cuba membawa naratif menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik. Na’udzubillah!

Sebelum semuanya terlambat, tindakan yang wajar untuk mengekang elemen-elemen ini serta mengembalikan pentadbiran yang cekap bagi menguruskan masalah pandemik, pengurusan ekonomi dan kebajikan rakyat harus disegerakan.

Negara ini perlu terus diuruskan dengan cekap, dalam keadaan rakyat yang hidup aman, sentosa serta rukun damai. Dalam keadaan yang seperti sekarang ini, satu tindakan yang memerlukan keberanian luar biasa untuk menyelamatkan negara ini harus digerakkan.

Justeru itu, keperluan kepada cadangan mewujudkan MAGERAN penuh harus ditelitikan untuk diterima pelaksanaannya oleh semua.

Dato’ Julita Ilani Binti Dato’ Sri Abd Jabbar
Kursi Teraju Perdana
Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia National Alliance For Justice Malaysia (NAJM)

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan Profesional wanita yang ingin membawa Malaysia ke arah Tanah yang aman, tenang dan seimbang.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button