Tempatan

Wajah ‘Sebenar’ Penang Woman

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 15 Ogos 2022 – Orang ramai kini boleh melihat wajah ‘sebenar’ Penang Woman, rangka manusia yang ditemukan ketika kajian penyelidikan pada tahun 2017.

Rangka manusia yang berusia lebih 5,000 tahun itu ditemui di Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sebuah portal tempatan melaporkan, lakaran wajah itu berjaya dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersama pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Penulis koresponden pasukan itu, Shaiful Idzwan Shahidan berkata, dengan bantuan Cicero Moraes, mereka menggunakan kaedah pembinaan semula maya 3D untuk mencipta ciri-ciri wajah Penang Woman berdasarkan data saintifik yang diperoleh daripada imbasan CT yang dilakukan pada rangka.

Mereka juga menggunakan kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya, bagi mengenal pasti dan membina semula muka Penang Woman itu sebelum lakaran wajahnya dibuat dan berjaya mendapatkannya pada 5 Julai lepas.

Ujar Shaiful Idzwan, beliau bersama kumpulannya mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk mendapatkan hasil wajah Penang Woman melalui beberapa proses antaranya imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital USM di Kubang Kerian, Kelantan.

“Kami mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk mengeluarkan ciri-ciri wajah, yang siap pada 5 Julai.”

Kejayaan ini diumumkan menerusi sebuah kertas kerja bertajuk “Forensic Facial Approximation of 5000-Year-Old Female Skull from Shell Midden in Guar Kepah, Malaysia” yang diterbitkan dalam Journal of Applied Sciences pada 5 Ogos.

Jurnal dan kajian penyelidikan ini dijalankan oleh tujuh penyelidik USM yang diketuai oleh Dr Johari Yap iaitu Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM.

Berdasarkan wajah Penang Woman, pihaknya mendapati Penang Woman adalah daripada kelompok atau ras campuran Australomelanesoid (tipikal Orang Asli) dan Mongoloid.

“Pendedahan rupa bentuk wajah Penang Woman itu adalah antara petunjuk penting yang menunjukkan lebih 5,000 tahun lalu berlaku percampuran dua kelompok ras pada ketika itu yang tinggal di kawasan Guar Kepah,” kata Shaiful Idzwan.

Ujarnya lagi, Penang Woman adalah objek warisan tidak ternilai dan sangat signifikan bagi tapak arkeologi Guar Kepah serta satu-satunya rangka Guar Kepah iaitu rangka ke-42 yang ditemukan oleh pengkaji Malaysia pada 19 April 2017 serta berada di Pulau Pinang.

“Rangka Penang Woman satu-satunya dijumpai di bawah Bukit Kerang iaitu timbunan cangkerang kira-kira tujuh meter oleh pengkaji Malaysia yang kita perlu menjaganya demi warisan bersama.”

“Pemilik rangka itu dianggarkan mati ketika berusia 30 hingga 35 tahun dengan ketinggian kira-kira 150 sentimeter (cm) dan ujian pada tisu rangka turut menyimpulkan individu ini banyak mengambil protein daripada makanan laut atau sungai.”

Tambahnya, pihaknya turut berharap 41 lagi rangka yang ditemukan di Guar Kepah dan telah dibawa ke Belanda dapat dibawa pulang oleh Kerajaan Negeri ke Pulau Pinang bagi tujuan penyelidikan.

Untuk pengetahuan, kumpulan ini juga merupakan kumpulan sama yang berjaya menghasilkan lakaran wajah Perak Man menggunakan kaedah 3D pembinaan semula secara maya, tahun lepas.

Leave a Reply

Back to top button