Antarabangsa

Wabak Legionnaires Serang Argentina, Terkini 5 Kematian

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ARGENTINA, 05 September 2022 – Wabak Legionnaires telah meragut nyawa kelima dalam kalangan pesakit dan kakitangan di sebuah klinik di utara Argentina, lapor sebuah portal antarabangsa.

“Kematian terbaru ialah seorang lelaki berusia 64 tahun dengan penyakit komorbiditi,” kata Luis Medina Cruz, Menteri Kesihatan Tucuman.

Sabtu baru-baru ini, Kementerian Kesihatan di wilayah Tucuman telah mengumumkan empat kematian awal telah berlaku, semuanya di sebuah klinik di San Miguel de Tucuman, di mana seramai 11 orang telah dijangkiti penyakit paru-paru berjangkit, yang sememangnya jarang berlaku.

“Daripada enam lagi yang dijangkiti, tiga masih di hospital dan yang lain dipantau di rumah,” kata Luis lagi.

Penyakit paru-paru yang agak jarang berlaku biasanya dikaitkan dengan air yang tercemar atau sistem penghawa dingin yang tidak bersih.

Dilaporkan bahawa antara gejala yang dialami oleh pesakit termasuklah demam, sakit otot dan perut serta sesak nafas. Beberapa pesakit mengalami radang paru-paru di kedua-dua belah paru-paru.

Menurut Pan American Health Organization (PAHO), bakteria Legionella boleh disebarkan apabila orang menyedut aerosol tercemar yang dihasilkan bersama dengan semburan air, jet atau kabus. Jangkitan juga boleh berlaku melalui aspirasi air atau ais yang tercemar, terutamanya pada pesakit yang terdedah dalam persekitaran hospital.

Kali pertama penyakit ini muncul adalah pada tahun 1976, apabila ia menyerang sekumpulan veteran American Legion di Amerika Syarikat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan mereka sedang memantau kejadian wabak ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: