Tempatan

Wabak Demam Babi Afrika: Sarawak Isytihar Kawasan Kawalan

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUCHING, 6 Julai 2021 – Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengisytiharkan bahagian Kapit dan daerah Telang Usan di Miri sebagai kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Ini susulan penularan virus berkenaan di Wilayah Nunukan dan Krayan di Kalimantan Utara, Indonesia, kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud.

“Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas membuat pengisytiharan demikian memandangkan Kapit dan Telang Usan berada berhampiran dengan wilayah berkenaan,” ujar Dr Adrian.

Oleh itu, orang ramai termasuk penternak babi di kawasan ini (Kapit dan Telang Usan) dinasihat tidak memberi makanan kepada babi, membawa keluar atau masuk babi hidup, daging babi atau produk babi ke kawasan kawalan ASF.

Tambah Dr Adrian, “Membawa masuk babi atau produk babi dari Indonesia tanpa permit daripada pihak berkuasa veterinar negeri adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan atau penjara tidak lebih dua tahun.”

“Sekiranya berlaku kematian tidak normal membabitkan ternakan, penternak babi perlulah segera melaporkannya kepada Pejabat Veterinar Bahagian berdekatan atau WhatsApp ke 016-284 0918,” kata Dr Adrian.

Februari lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) mengisytiharkan Pitas sebagai daerah wabak Demam Babi Afrika (ASF) berikutan penemuan virus berkenaan dalam babi yang diternak di daerah itu.

Dan setakat 18 April lalu, sejumlah 398 babi telah dilupuskan sementara 535 ekor lagi mati disebabkan ASF di Sabah.

Leave a Reply

Back to top button