Wabak Batuk Kokol Rekod Satu Kematian Di Sabah
KOTA KINABALU, 28 April 2023 – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengesahkan satu kes kematian direkodkan dipercayai membabitkan kes wabak batuk kokol atau Pertussis di Sabah.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan dengan lebih lanjut berhubung kes kematian tersebut.
Menurut beliau, wabak batuk kokol di Sabah telah merekodkan 76 kes dengan Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi iaitu 20 kes setakat Januari tahun ini hingga semalam.
Beberapa daerah lain juga telah dikenal pasti berhubung penularan wabak berkenaan antaranya Lahad Datu (16 kes), Tawau (15 kes), Putatan (8 kes), Semporna dan Papar (4 kes), Kunak dan Tambunan (3 kes) diikuti Kinabatangan, Tuaran dan Sandakan yang masing-masing satu kes.
Sementara itu, warga tempatan mencatatkan 41 kes, Filipina, 27 kes diikuti Indonesia, 8 kes.
BACA JUGA: Pembenihan Awan Bergantung Cuaca Semasa
BACA JUGA: Malaysia Akan Jadi Lebih Kering & Panas Bermula Jun Hingga Oktober
BACA JUGA: 40% Arah Kiblat Lembah Klang Terpesong
Susulan itu, jelas beliau, pihaknya terus melakukan pemantauan akan situasi wabak batuk kokol ini supaya ia tidak terus menular.
Beliau yang berkata pada sidang media selepas Sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Negeri Sabah di Auditorium, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu itu turut menasihati orang ramai untuk membawa anak-anak yang mempunyai gejala batuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Ia adalah bagi mengenal pasti sama ada ia merupakan batuk biasa atau kes yang memerlukan rawatan selanjutnya.
Kenyataan beliau itu adalah bagi mengulas kepada soalan yang diajukan berhubung satu video tular memaparkan seorang petugas dari Pejabat Kesihatan daerah Putatan sedang membuat pengumuman pengisytiharan wabak batuk kokol yang telah merebak di Kampung Ketiau, Putatan.
Dalam video berkenaan, petugas meminta penduduk di sekitar kawasan tersebut agar waspada dengan wabak batuk kokol khususnya melibatkan kanak-kanak berusia satu tahun ke bawah.
Untuk makluman, batuk kokol (whooping cough) atau Pertussis ini merupakan penyakit cegahan vaksin yang berpunca daripada bakteria iaitu Bordetella pertussis.
Kuman boleh tersebar melalui udara sewaktu pesakit bersin atau batuk dan ia boleh menjangkiti mulut, hidung serta tekak.
Malah, ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia dan mereka yang dijangkiti lazimnya mengalami batuk berpanjangan selama tempoh satu hingga dua minggu malah boleh berlarutan sehingga dua bulan.
Bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.