Tempatan

Video Raya Aliff Syukri: Kementerian Tidak Boleh Sekat – Annuar Musa

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 April 2022 – “Kementerian tidak boleh sekat. Yang boleh buat keputusan sekat adalah mahkamah. Kementerian hanya melaksana.”

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tiada kuasa untuk menyekat secara langsung klip video raya oleh usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

“Kalau kita sekat dahulu, orang boleh saman kita. Kalau mahu sekat, perlu berdasarkan kepada undang-undang.”

“Kalau menteri boleh sekat. Saya hari-hari ada benda nak sekat. Tapi kena ikut undang-undang. Dia ada kaedah,” katanya pada sidang media di Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di Hotel Le Meridien pada Selasa lalu.

Ujarnya, pihaknya memandang serius perkara tersebut selepas menerima laporan daripada orang awam dan pelbagai pihak, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Namun beliau turut menambah, sekiranya sesuatu aduan tersebut tidak dapat dibuktikan menyalahi undang-undang, tiada tindakan yang akan diambil.

“Hanya kalau melanggar undang-undang, baru akan ada tindakan yang boleh dibuat. Kalau tiada, kita tidak boleh buat sesuatu atas dasar ikut suka,” jelas beliau.

Ketika diminta untuk mengulas menegani isu tersebut, beliau tidak memberi sebarang ulasan kerana akan dianggap prejudis terhadap penyiasatan.

Terdahulu, muzik video “Kelepok Raya” nyanyian usahawan tersebut mengundang rasa kurang senang apabila didakwa tidak menjaga kemuliaan bulan Ramadan dengan memaparkan sekumpulan lelaki yang mengenakan solekan serta melakukan tarian mengghairahkan.

Aliff Syukri telah hadir ke ibu pejabat SKMM pada hari Selasa yang lalu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung klip muzik video tersebut, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Leave a Reply

Back to top button