Veteran Tentera Kecewa Sikap Kerajaan India – Mejar Meor
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2022 – Veteran Angkatan Tentera menzahirkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan India berikutan penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. oleh seorang ahli kumpulan parti pemerintah di sana.
“Saya mewakili 300 orang veteran di Malaysia ini dengan rasa dukacitanya, sangat-sangat dukacita kerana Nabi Muhammad S.A.W. telah dihina oleh satu negara yang juga mempunyai umat Islam yang begitu ramai,” kata Mejar Meor, dalam satu himpunan serahan memorandum bantahan kepada Kedutaan Besar India di Malaysia hari ini.
Kata beliau, anggota tentera di sini tidak pernah menghina agama lain walaupun anggota-anggotanya terdiri dari pelbagai agama.
“Jadi kami di sini, seorang orang Islam walaupun di dalam Veteran bukan semuanya Islam tetapi, kami tak pernah menghina agama lain dan kami boleh hidup bersama di dalam Angkatan Tentera, berjuang untuk negara, untuk mempertahankan negara walaupun kami berbeza agama.”
Justeru, beliau menegaskan apa yang dilakukan oleh ahli dari parti politik India itu tidak dapat diterima.
“Jadi oleh kerana itu, apa yang dilakukan oleh parti politik di India ini tidak boleh diterima! Menghina Nabi Muhammad S.A.W.”
“Allahuakbar! Allahuakbar!” laung beliau yang disambut oleh peserta himpunan.
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), UMMAH dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) hari ini melakukan sebuah himpunan sebelum menyerahkan Memorandum Bantahan penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. selepas selesai solat Jumaat.
Himpunan dan serahan yang disertai oleh kira-kira 100 wakil kepimpinan NGO-NGO Islam lain itu diadakan di hadapan bangunan Kedutaan India di Malaysia, Wisma HRIH Lotus, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Antara wakil-wakil NGO yang hadir adalah, Pengerusi PEMBELA Hj Aminuddin Yahaya, Naib Pengerusi PEMBELA/Presiden PERKID Ustaz Masridzi Sat, Kamaruzzaman Mohamad PEMBELA, Saudara Muhammad dari Persatuan Pemuda India Muslim Malaysia, Izzuddin dari GAMIS, Ustaz Azhar Majlis dari Amal Islami Malaysia, Shahbudin dari Majlis Rundingan Melayu, Zulkifli Wahijan dan Dato’ Ibrahim Ali.
Manakala, wakil-wakil parti politik yang turut hadir adalah, Nazir Helmi wakil dari Pemuda PAS, Ustaz Afiq, Exco Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah.