Tempatan

Serbu & Rampas Vape: Tindakan KKM Rugikan Pengusaha Vape – DPVM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2022 – Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli kecewa dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan serbuan dan rampasan ke atas industri vape pada beberapa hari lalu.

“Industri menyokong Kerajaan untuk membuat undang-undang kawal selia industri vape dan kami menyambut baik akta berkenaan yang kini diperhalusi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.”

“Tetapi serbuan dan rampasan yang dilakukan beberapa hari lalu secara serentak mengelirukan industri dan seolah-olah memberikan tekanan kepada industri kerana industri tidak bersetuju dengan cadangan KKM untuk menyamakan vape dengan rokok serta cadangan polisi GEG. Kami memohon agar KKM hentikan serbuan dan rampasan pada masa ini sambil menunggu akta itu diperhalusi sebelum dibentangkan semula di Parlimen,” ujarnya.

Senada dengan Ridhwan Rosli, Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria juga berkata, siri serbuan yang dijalankan pihak berkuasa itu mengelirukan industri kerana ia tidak selaras dengan apa yang diumumkan Kerajaan sebelum ini dan tindakan ini mengakibatkan ramai yang mengalami kerugian.

“Tindakan serbuan ke atas industri yang sanggup dikawal selia hanya menambah kesukaran industri. Sepatutnya, KKM mengeluarkan garis panduan kawal selia sambil menunggu akta itu dibentang semula. Ini akan membolehkan industri mendapat hala tuju ke arah pengawalseliaan serta membolehkan industri bersiap-sedia apabila proses perundangan dilaksanakan,” katanya.

Menurut YM Ustaz Engku Ahmad Fadzil Bin Engku Ali, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang, daripada sudut fatwa, terdapat beberapa fatwa tentang vape yang telah dikeluarkan di Malaysia.

Antaranya, keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada tahun 2015 yang memfatwakan bahawa vape adalah haram. Fatwa tersebut dikeluarkan berdasarkan kajian tentang kandungan vape yang dapat memudaratkan kesihatan seperti menyebabkan ketagihan, menggalakkan pembekuan darah, kematian mengejut, iritasi pada mata, tekak dan kulit serta mampu membunuh sel paru- paru.

Menyentuh soal khilaf (perbezaan pandangan) dalam kalangan ulama tentang vape, “Khilaf di dalam penetapan hukum syarak, terutamanya melibatkan perkara-perkara baru yang tiada dalil khusus adalah satu perkara biasa. Ia bukan sahaja berpunca daripada perbezaan di dalam menerima atau di dalam memahami dalil (question of law), bahkan kerap juga berpunca di dalam menilai fakta (question of fact),” jelas beliau.

Namun, beliau menambah bahawa bagi umat Islam yang ingin memilih jalan selamat, prinsip “keluar dari khilaf adalah digalakkan” boleh diguna pakai, iaitu meninggalkan pengambilan vape bagi mengelakkan kemungkinan melakukan sesuatu yang diharamkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: