Tempatan

Vape – Rancak Berdosa?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 23 November 2021 – Rokok elektronik atau vape menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat, terutamanya daripada segi hukumnya. Bagi merungkai permasalahan hukum menghisap vape, wartawan Samudera telah menemubual YM Ustaz Engku Ahmad Fadzil Bin Engku Ali, Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang bagi merungkaikan persoalan hukum menghisap vape.

Menurut beliau, daripada sudut fatwa, terdapat beberapa fatwa tentang vape yang telah dikeluarkan di Malaysia. Antaranya, keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan pada tahun 2015 yang memfatwakan bahawa vape adalah haram. Fatwa tersebut dikeluarkan berdasarkan kajian tentang kandungan vape yang dapat memudaratkan kesihatan seperti menyebabkan ketagihan, menggalakkan pembekuan darah, kematian mengejut, iritasi pada mata, tekak dan kulit serta mampu membunuh sel paru- paru.

Berdasarkan asas di atas, beberapa kaedah lain seperti kaedah qiyas dan prinsip larangan memudharatkan diri dan orang sekeliling, fatwa memutuskan bahawa vape, hukumnya adalah haram.

Beliau turut menyentuh soal khilaf (perbezaan pandangan) dalam kalangan ulama tentang vape, “Khilaf di dalam penetapan hukum syarak, terutamanya melibatkan perkara-perkara baru yang tiada dalil khusus adalah suatu perkara biasa. Ia bukan sahaja berpunca daripada perbezaan di dalam menerima atau di dalam memahami dalil (question of law), bahkan kerap juga berpunca di dalam menilai fakta (question of fact),” jelas beliau.

Namun, beliau menambah bahawa bagi umat Islam yang ingin memilih jalan selamat, prinsip “keluar dari khilaf adalah digalakkan” boleh digunapakai, iaitu meninggalkan pengambilan vape bagi mengelakkan kemungkinan melakukan sesuatu yang diharamkan.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun dalam isu vape terdapat khilaf, tetapi ia boleh jatuh kepada hukum haram sekiranya fatwa pengharaman vape dikuatkuasakan. Hal ini terjadi atas dasar kewajiban mentaati pemerintah selagimana ketaatan itu bukan dalam melakukan maksiat.

Kesimpulannya, terdapat khilaf dalam isu vape, tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya pemerintah di Malaysia menguatkuasakan pengharaman vape. Namun, jalan yang selamat untuk umat Islam adalah dengan meninggalkan vape sekaligus keluar daripada khilaf ini.

Leave a Reply

Back to top button