Tempatan

Vape Murah Pakai Buang Dikhuatiri Tarik Minat Remaja Bawah Umur Beli ‘Online’

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 20 September 2022 – Penjualan bebas vape pakai buang dengan harga murah secara dalam talian dikhuatiri akan menarik kelompok bawah umur untuk membeli peranti berkenaan.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka Tengah, Dr Khair Razlan Othman berkata, vape yang dahulunya memerlukan kos yang tinggi untuk diperoleh kini boleh didapatkan dengan harga murah oleh semua golongan termasuklah pelajar sekolah. Mereka boleh mendapatkan vape ini dengan harga serendah RM10 mengikut jumlah sedutan.

Katanya, perkara itu menimbulkan kemungkinan bahawa pengguna baharu dari peringkat bawah umur bakal bertambah sekali gus tidak membantu usaha untuk mengurangkan jumlah perokok ketika ini.

Bukan itu sahaja, biarpun kedai yang menjual vape ini menguatkuasakan larangan bagi mereka yang berusia bawah 18 tahun untuk memasuki premis, namun ia tidak memadai berikutan penjualan vape ini masih bebas secara dalam talian.

“Kalau rokok pengguna perlu mendapatkan secara fizikal, tidak boleh melalui dalam talian. Kerajaan perlu melihat daripada sudut penggunaan vape khususnya trend pod pakai buang ini. Naratif yang diguna pakai oleh penghisap vape ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap rokok.”

“Walhal daripada pengamal perubatan, vape bukanlah satu pilihan yang selamat untuk menggantikan rokok. Kalau rokok kandungannya perlu didedahkan dan pada kadar yang tertentu, tapi kapasiti vape ini boleh dipertikai keselamatannya berdasarkan faktor yang dahulunya beratus ringgit kini dijual di bawah RM10,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya tiada pemantauan ke atas perkembangan industri vape ini, usaha Kerajaan untuk mewujudkan generasi bebas rokok bakal beralih pada haluan yang salah bahkan boleh mendatangkan kemudaratan.

Justeru, beliau meminta agar pihak Kerajaan memperkenalkan harga lantai seperti mana yang dikenakan kepada penjualan produk tembakau agar ‘ancaman’ kepada anak muda ini dapat dielakkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: