Vape Boleh Akibatkan Kerosakan Otak
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ABU DHABI, 12 Julai 2022 – Doktor di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengingatkan orang ramai, terutamanya golongan remaja bahawa vape bukan sahaja memberi kesan kepada paru-paru, malah juga dikaitkan dengan kerosakan otak.
Lapor Al Arabiya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, vape menjadi alternatif menghisap rokok kerana tidak menghasilkan bau busuk seperti produk tembakau tradisional dan dianggap sebagai pilihan yang lebih sihat.
Dr Azeem Abdul Salam Mohamad, pakar perubatan dalaman di Hospital Bareen, Abu Dhabi mengatakan, “Menghisap atau menggunakan rokok elektronik dikaitkan dengan masalah paru-paru, jantung, otak dan juga gusi. Apabila menyedut nikotin melalui e-rokok, kesan utama melibatkan paru-paru.”
Nikotin merupakan bahan ketagihan yang boleh membahayakan otak remaja yang sedang berkembang, katanya. Ia juga memberi kesan jangka masa panjang yang boleh mengakibatkan kerosakan otak.
“Nikotin dalam vape boleh menjejaskan tingkah laku kognitif dan perkembangan otak pada remaja kerana perkembangan otak biasanya berlaku sehingga umur 20-25 tahun,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, terdapat beberapa produk di pasaran yang didakwa bebas nikotin namun didapati sebenarnya produk itu mengandungi bahan ketagih tersebut.
Dr Azeem turut meluahkan kebimbangannya mengenai populariti vape di kalangan remaja, “Ramai individu beralih daripada rokok kepada vape, memikirkan ia adalah cara untuk mengehadkan diri mereka daripada kesan bahaya rokok. Tetapi, kebanyakan e-rokok mengandungi nikotin yang boleh membahayakan remaja dan kanak-kanak.”
Katanya, produk ini sering dipasarkan kepada kanak-kanak dan remaja di mana ia dikeluarkan dengan pelbagai perisa menarik dan dakwaan mengelirukan mengenai produk tersebut.