Tempatan

Vaksinasi Covid-19: Pahang Mula Fasa 1 Akhir Februari Ini

KUANTAN – Negeri Pahang akan memulakan program suntikan vaksin Covid-19 Fasa 1 bermula akhir Februari ini melibatkan barisan hadapan seramai 28,000 orang terlebih dahulu, demikian menurut Pahang Media.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjangkakan kesemua kira-kira 1.12 juta rakyat Pahang atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri ini bakal divaksinasikan selepas selesai ketiga-tiga fasa sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

“Sukacita saya maklumkan, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menetapkan program suntikan vaksin COVID-19 bagi negeri Pahang di bawah Fasa 1 melibatkan barisan hadapan lebih 28,000 orang, akan bermula akhir Februari ini.”

“Mereka terlibat ialah dalam kalangan kakitangan/anggota Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Task Force COVID Negeri.”

Tambahnya, bagi fasa kedua yang akan bermula April ini, ia akan melibatkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas dan golongan berpenyakit kronik atau ‘comorbid’.

“Di bawah Fasa 3 melibatkan lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin bagi mereka akan bermula Mei ini hinggalah Februari 2022.”

Justeru beliau menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama bagi membendung penularan virus ini.

“Sehubungan itu, sukacita saya sarankan kepada semua pihak agar dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19 ini menurut tatacara yang ditetapkan.”

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan suntikan vaksin Covid-19 supaya tidak menjalankan kempen menolak suntikan tersebut.

“Saya nak ingatkan kepada mereka yang tidak bersetuju, jangan kempen tidak bersetuju kepada orang lain kerana ini menyalahi kaedah kerana bila anda kempen untuk tidak (bersetuju) kepada orang lain, ini akan menyebabkan macam-macam tohmahan atau perkara yang mungkin tak dapat (dilaksanakan) dan ia menyalahi Akta 342.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button