Vaksin & ‘Medical Apartheid’: Individu Bebas Memilih – Tengku Panglima Raja Pahang
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUANTAN, 17 Ogos 2021 – Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YAM. Tengku Panglima Raja, Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus.
Maka, setiap individu mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada ingin mengambil vaksin COVID-19 ataupun tidak tanpa ada unsur paksaan, ‘double-standard atau diskriminasi.
“Seperti yang telah diumumkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang (JPHSNP) Kali ke-5 Tahun 2020 yang telah bersidang pada 18hb Disember 2020 telah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus (dibenarkan, bukan diwajibkan).”
Oleh itu, tindakan sesetengah jabatan agama atau jawatankuasa masjid yang cuba melaksanakan SOP kawalan dengan tujuan membeza-bezakan individu yang telah divaksin ataupun tidak adalah tidak wajar sama sekali berlaku.
“Tindakan sesetengah jabatan agama atau jawatankuasa masjid yang cuba melaksanakan SOP kawalan dengan tujuan membeza-bezakan individu yang telah divaksin ataupun tidak adalah tidak wajar sama sekali berlaku kerana berdasarkan kepada maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin COVID-19 tidak sepenuhnya menjamin seseorang individu tersebut terhalang daripada dijangkiti virus COVID-19 atau menjangkiti orang lain dengan virus tersebut, maka tidak wajar wujudnya perbezaan di antara kelompok individu yang telah divaksin mahupun belum divaksin di dalam konteks hal ini,” titah baginda.
YAM. Tengku Panglima Raja, Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga mengingatkan semua untuk tidak mudah terpengaruh dengan kecenderungan ‘Medical Apartheid’ atau diskriminasi perubatan kerana hal ini akan mengakibatkan ukhuwah umat Islam semakin lemah dan berpecah-belah.
Mengakhiri kenyataan, baginda menegaskan agar pihak berkuasa agama Islam berhati-hati di dalam melaksanakan sesuatu metod atau penguatkuasaan agar ianya sentiasa selaras dengan kehendak atau keputusan hukum syarak.
“Sebagai pihak berkuasa agama Islam yang telah diamanahkan oleh Allah SWT, kita hendaklah sentiasa berhati-hati di dalam melaksanakan sesuatu metod atau penguatkuasaan agar ianya sentiasa selaras dengan kehendak atau keputusan hukum syarak.”
“Hanya dengan cara ini, kebenaran, keharmonian serta keadilan dapat ditegakkan dan secara tidak langsung dapat meraih rahmat dan keredhaan dari Allah SWT.”