Tempatan

Pelombong Haram China Curi Emas Di Hutan Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LIPIS, 20 Ogos 2022 –  Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad mendedahkan bahawa, pihaknya dimaklumkan kegiatan melombong emas secara haram dalam Hutan Simpan Ulu Jelai dilakukan oleh warga China.

Ujarnya, susulan pembongkaran itu, pihaknya turut difahamkan terdapat kira-kira 20 individu dipercayai kebanyakan warga China ‘bekerja’ di kawasan itu, namun dipercayai sudah melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

Kegiatan melombong emas secara haram itu berjaya dibongkar berikutan penemuan jalan tanah merah yang mencurigakan.

Serbuan dilakukan pada Isnin baru-baru ini oleh sepasukan 29 anggota Unit Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub dibantu lapan anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta polis selepas menerima maklumat.

Menurut Shahril, hasil pemeriksaan pihaknya di kawasan tersebut mendapati, terdapat lapan kolam air dan dua kolam dipercayai mengandungi bahan kimia yang digunakan sebagai penapis selain untuk mengasingkan emas yang melekat pada pasir.

Beliau difahamkan teknik melombong berkenaan lebih berkesan bagi mendapatkan emas dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa dan penggunaan kaedah itu amat terkenal di China.

“Siasatan awal percaya pihak yang terbabit dengan kegiatan haram ini sanggup mengeluarkan modal yang besar bagi menjayakan misi mereka, malah boleh dikatakan semua kelengkapan seperti tempat tinggal, dapur, tandas, bilik mandi, makanan dan tukang masak disediakan,” katanya.

Beberapa hari selepas kegiatan perlombongan emas haram itu terbongkar, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menimbus 10 kolam di kawasan seluas dua hektar di Kompartmen 484 dan 485, Hutan Simpan Ulu Jelai itu.

Pihak Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP akan mencadangkan kawasan itu ditanam pokok kerana ia adalah rizab Central Forest Spine (CFS) atau laluan hidupan liar yang sudah dipulihkan dengan projek tanaman beberapa spesies pokok balak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: