Tempatan

Vaksin AstraZeneca Akan Diberi Kepada Yang Sukarela Sahaja – Khairy Jamaluddin

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 28 April 2021 – “Vaksin Astrazenaca hanya akan diberikan kepada pemohon sukarela yang sudah melihat segala fakta mengenai vaksin itu dan penilaian kesihatan ke atas mereka akan dibuat,” kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin pada sidang media Mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Tindakan ini diambil susulan mempertimbangkan kegusaran rakyat mengenai keselamatan vaksin itu.

Kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, Malaysia telah menerima 268,800 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca pada minggu lalu.

Pemberian vaksin itu akan dimulakan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Selangor semalam untuk mengenal pasti PPV yang sesuai untuk pemberian vaksin AstraZeneca dan kami juga akan mencari PPV yang sesuai di Kuala Lumpur.”

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba pula sebelum ini mengumumkan bahawa vaksin itu selamat dan ia akan diberikan kepada golongan berumur 60 tahun ke atas dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Negara Kanada semalam melaporkan kematian pertama kesan daripada masalah pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca.

Namun, perkhidmatan kesihatan negara itu mengumumkan akan meneruskan penggunaan vaksin AstraZeneca setelah mengambil kira manfaat vaksin melebihi risiko.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button