Uzbekistan Kini Benarkan Pelajar Sekolah Memakai Hijab
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
TASHKENT, 08 September 2021 – Uzbekistan kini membenarkan para pelajar perempuan untuk memakai hijab bagi memastikan mereka dari keluarga yang soleh kekal menghantar anak mereka ke sekolah, menurut Menteri Pendidikan Uzbekistan.
Islam adalah agama anutan majoriti rakyat Uzbekistan, namun pihak kerajaan di sana mengamalkan dasar kuku besi sekular yang ketat bagi mengawal rakyat supaya tidak dapat mengamalkan syariah Islam sepanjang tiga dekad ini walaupun selepas mendapat kemerdekaan dari penjajahan Soviet Union.
Menteri Pendidikan, Sherzod Shermatov berkata, pihak kerajaan “berniat untuk membenarkan uniform tudung dan anak tudung dalam warna putih atau warna yang lembut” di sekolah-sekolah setelah “dirayu oleh ramai ibu bapa”.
Menurut beliau, langkah ini adalah perlu bagi memastikan setiap kanak-kanak Uzbekistan mendapat pendidikan sekular.
Presiden Shavkat Mirziyoyev telah meringankan banyak kekangan terhadap agama Islam setelah memegang tampuk pemerintahan pada tahun 2016 selepas kematian pemimpin kuku besi Uzbekistan, Islam Karimov.
Sebelum ini, para guru di ibu kota Tashkent telah diarahkan untuk berdiri berkawal di luar pagar sekolah setiap pagi bagi memastikan para pelajar menanggalkan tudung mereka dahulu sebelum memasuki premis sekolah.
Peraturan sekolah mewajibkan para pelajar Uzbekistan untuk memakai uniform, hijab dan apa sahaja pemakaian yang melambangkan syiar agama adalah diharamkan — bagi para guru dan pelajar.