Tempatan

Usaha Membantu Remaja Tular Dimandi Jenazah Berhasil: PPMM Zahir Penghargaan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 18Januari 2022 – Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), melalui sebuah kenyataan media telah menzahirkan penghargaan kepada individu-individu yang berkerjasama dengan mereka dalam membantu mengurangkan hukuman keatas Daniel Iskandar, remaja yang tular dimandikan seperti jenazah baru-baru ini.

PPMM pada Isnin baru-baru ini telah menghadiri proses semakan jenayah yang menyaksikan hukuman ke atas Daniel dikurangkan daripada denda RM 4,000 dan penjara 10 hari kepada khidmat masyarakat sebanyak 120 jam dalam tempoh 6 bulan.

Dalam masa yang sama, PPMM yang sebelum ini membantu menguruskan kes Daniel telah bertindak menyerahkan tugasan tersebut kepada peguam yang dilantik bagi mengelakkan pertindanan tugasan dalam mewakili Daniel.

Walaupun begitu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan PPMM untuk tetap menghadiri kes tersebut sebagai ‘sahabat mahkamah’ (amicus curiae) yang bertanggungjawab membantu mahkamah dalam memberi penjelasan tentang beberapa hal yang berkaitan.

Pihak mahkamah turut menyarankan PPMM bagi menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan isu antara pihak-pihak yang terlibat, baik pihak jawatankuasa masjid mahupun pihak Daniel sendiri.

PPMM turut menyatakan bahawa mereka akan mencuba yang terbaik bagi merealisasikan saranan-saranan daripada mahkamah.

“PPMM akan meneliti Penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam berkenaan, dan akan sesegera mungkin, mengambil langkah yang perlu dalam membantu Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai ‘Sahabat Mahkamah’ bagi tujuan untuk merealisasikan SARANAN berkenaan setakat mana yang mampu.” ujar PPMM.

Antara peguam-peguam yang telah membantu PPMM dalam mengurangkan hukuman keatas Daniel adalah Haniff Khatri, Muhammad Hariz bin Md Yusoff, Nur Fatin Syakinah, Ahmad Khalil bin Md Rofiee dan Muhamad Mustaqim bin Ahmad Huzaini.

Leave a Reply

Back to top button