Tempatan

Barang Naik Harga: Kantin Sekolah Tukar Menu, Kurang Guna Minyak Dan Ayam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2022 – Pengusaha kantin sekolah mengubah suai menu mereka kepada menu yang kurang menggunakan minyak serta masakan berasaskan ayam dan telur susulan peningkatan harga barang.

Menurut seorang pengusaha kantin yang tidak dinamakan, beliau telah menukar menunya kepada hidangan mee sup serta hidangan berbakar.

“Saya telah bertukar kepada penyediaan makaroni bakar, spageti karbonara, bihun sup, laksa, pizza, roti bakar serta nasi lemak,” kata pengusaha kantin tersebut kepada pihak New Straits Times.

Katanya, semua hidangan berkenaan tidak memerlukan penggunaan minyak masak yang banyak untuk penyediaannya. Ia sekali gus dapat menjimatkan minyak botol yang telah mengalami peningkatan harga sejak dua minggu lalu.

Bukan itu sahaja, beliau juga mengehadkan hidangan yang berasaskan ayam dengan hanya mengambil 25 ekor ayam sehari berbanding 60 ekor ayam sehari sebelum ini.

Malah, selain perbelanjaan bahan mentah, pengusaha kantin juga terpaksa menanggung kos barangan plastik, cawan pakai buang dan minuman kotak yang harganya lebih tinggi.

Jelas pengusaha kantin itu, menu-menu hidangan tersebut dipelbagaikan bagi menjimatkan kos berikutan pengusaha kantin tidak dibenarkan menaikkan harga makanan sesuka hati.

Dalam pada itu, Presiden Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Khairuddin Hamzah menggesa pihak Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan arahan membenarkan pentadbir sekolah menyemak semula harga makanan yang ditetapkan di dalam kontrak.

“Pengusaha yang terlibat dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) mengalami kerugian kerana bahan makanan mentah itu sendiri sudah berharga RM2.50 seorang pelajar. Ini tidak termasuk kos logistik, gaji pekerja dan kos lain,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: