‘Undi 18’ Bersifat Diskriminatori, Parlimen New Zealand Bincang Rendahkan Umur
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AUCKLAND, 22 November 2022 – Parlimen New Zealand terpaksa berbincang untuk merendahkan had umur mengundi di negara itu berikutan umur pengundian semasa iaitu 18 tahun dianggap sebagai sebuah diskriminasi.
Lapor berita antarabangsa, Mahkamah Agung mendapati bahawa umur mengundi semasa negara itu tidak konsisten dengan Rang Undang-Undang Hak negara, yang memberikan hak kebebasan daripada diskriminasi umur apabila mencapai umur 16 tahun.
Pengarah Make It 16, Caeden Tipler berkata, “Kerajaan dan parlimen tidak boleh mengabaikan mesej undang-undang dan moral yang begitu jelas. Mereka mesti benarkan kami mengundi.”
Mereka berkata, tiada justifikasi yang cukup untuk menghalang remaja berusia 16 tahun daripada mengundi apabila mereka boleh memandu, membayar cukai dan bekerja sepenuh masa.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memaklumkan bahawa kerajaan akan menggubal undang-undang untuk mengurangkan umur kepada 16 tahun.
“Saya secara peribadi menyokong penurunan umur mengundi tetapi ia bukan perkara semata-mata untuk saya atau kerajaan, sebarang perubahan dalam undang-undang pilihan raya seperti ini memerlukan 75 peratus sokongan parlimen,” jelasnya.
Tambah beliau, parti-parti politik mempunyai pandangan bercampur mengenai isu ini. Green Party mahu menurunkan had umur kepada 16 tahun dengan segera, manakala parti pembangkang tidak menyokong perubahan tersebut.