“Undang-Undang Sedia Ada Tidak Tegas, Akta 333 Bakal Dipinda” – Anthony Loke
GOMBAK, 07 Ogos 2024 – Kerajaan akan meminda Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan tindakan lebih tegas ke atas pemandu di bawah pengaruh dadah walaupun tidak menyebabkan kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan pindaan itu dilakukan kerana kesalahan pemandu positif dadah sama seperti pemandu menggunakan alkohol yang berlebihan.
“Undang-undang sedia ada ini tidak tegas terhadap pemandu yang mengambil dadah kerana kita hanya boleh mendakwa mereka sekiranya dia mengakibatkan kemalangan jalan raya.
“Jika seseorang pemandu itu dikesan jadi penagih dadah tetapi tidak atau belum ada kemalangan, dia tidak boleh didakwa hanya boleh digantung lesen sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasa JPJ, semalam.
Jelasnya, perkara ini perlu dikaji semula ekoran tidak mahu tunggu sehingga terjadi kemalangan baru diambil tindakan terhadap pemandu tersebut.
“Cadangan untuk meminda Akta 333 akan dibawa ke Persidangan Ketiga pada Oktober ini selaras perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan.”
“Pada masa ini Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (AKTA 333) masih terdapat kelompongan yang khususnya tindakan terhadap pemandu yang positif dadah,” katanya.
Jelas Anthony, di bawah seksyen ini hanya memperuntukkan maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun terhadap pemandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.
“Bagaimanapun, saya ingin nasihatkan juga kepada syarikat pengendali perlu melakukan saringan dalaman terhadap pemandu mereka secara berkala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.”
“Ini bagi mencegah pemandu yang berisiko mengambil kenderaan mereka kerana kita tidak boleh memeriksa 100 peratus setiap kenderaan dan pemandu tetapi operasi ini sudah tentu akan diteruskan,” jelasnya.
Anthony juga memaklumkan, cadangan pindaan itu dilakukan susulan kemalangan treler merempuh sebuah rumah hingga menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang minggu lalu.
Difahamkan, pemandu treler berusia 40 tahun yang berseorangan itu dipercayai di bawah pengaruh dadah.