Undang-Undang Murtad Syariah Diskriminasi, Menurut Laporan SUHAKAM – Profesor Rafidah Hanim
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 15 Disember 2021 – Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyuarakan kegusaran beliau terhadap laporan dikeluarkan oleh badan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia yang mendakwa bahawa semua undang-undang murtad Syariah sebagai diskriminasi, selain cuba mengangkat “jantina ketiga” ke arus perdana.
“Kertas cadangan kajian SUHAKAM yang tidak bebas dan laporan Separuh Penggal mereka kali ini mula mengangkat idea gender ketiga dan non-binari ke arus perdana. Bukan itu sahaja, laporan SUHAKAM juga menyatakan semua undang-undang murtad Syariah sebagai diskriminasi dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan.”
Ujar Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, kesemua perkara ini membuatkan kita tertanya-tanya adakah fungsi SUHAKAM itu adalah untuk mencorakkan identiti negara mengikut naratif PBB dan hak asasi acuan Barat?
Beliau menegaskan bahawa SUHAKAM tidak perlu mengikut naratif hak asasi bulat-bulat seperti apa yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan instrumen pemantauan hak asasi seperti mekanisma Semakan Berkala Sejagat (UPR), Treaty Bodies dan Special Procedures yang merujuk kepada Prinsip Paris (Paris Principles).
“Apa yang dikesalkan, ketika SUHAKAM obses dengan penilaian A oleh sub-jawatankuasa akreditasi iaitu Global Alliance of National Human Rights Institutions (GANHRI), mereka lupa bahawa “kecemerlangan” mereka itu adalah “at the expense of” nilai-nilai yang bertentangan dengan agama, moraliti dan budaya di Malaysia,” kata beliau.
“Dengan status A, SUHAKAM mendapat beberapa keistimewaan seperti peluang melibatkan diri dengan mekanisma hak asasi antarabangsa dan berucap di pentas PBB. Tetapi, sejak beberapa tahun akreditasi A ini, kita tidak melihat keistimewaan ini bermanfaat untuk umat Islam dan golongan beragama yang lain di Malaysia khususnya, jauh sekali untuk mencorakkan naratif hak asasi global,” tambah Prof Rafidah dengan penuh kesal.
Sepatutnya, pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM perlu mencorakkan naratif hak asasi mengikut acuan kita dan memberi input sewajarnya kepada PBB tentang nilai kita untuk diintegrasikan.
“Ini kerana, selama ini yang mencorakkan nilai-nilai hak asasi di Majlis Hak Asasi PBB (UNCHR) adalah negara-negara sekular,” kata beliau lagi kepada wartawan Samudera.my.
Justeru, “Sangat menyedihkan jika pesuruhjaya-pesuruhjaya Muslim kita juga turut menyuburkan tanggapan ini dan mengikut skrip Prinsip Paris secara rigid menjadikan perjanjian-perjanjian dan Konvensyen Utama Hak Asasi sebagai asas atau kerangka kerja mereka dalam SUHAKAM,” kata Prof Rafidah Hanim.