Undang-Undang Keselamatan Atas Talian Kerajaan UK Dikritik Sekat Kebebasan Bersuara
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
UNITED KINGDOM, 30 November 2022 – Kerajaan United Kingdom (UK) telah membatalkan rancangan mereka untuk memaksa firma-firma teknologi untuk memadam kandungan Internet yang membahayakan namun ianya sah di sisi undang-undang.
Pembatalan tersebut diputuskan setelah cadangan bagi undang-undang yang bersifat memaksa itu telah menerima kritikan yang berat dari kalangan para penggubal undang-undang serta kumpulan-kumpulan kebebasan sivil.
UK sebelum ini membentangkan bil Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, yang mana ianya merupakan sebuah percubaan yang bersifat kontroversi, yang bertujuan untuk menangani masalah perkauman dalam talian, keganasan seksual, buli, penipuan serta beberapa material lain yang bersifat merbahaya.
Rancangan asal undang-undang tersebut adalah untuk memberikan para penggubal undang-undang kuasa yang luas dalam menyekat syarikat-syarikat media sosial seperti TikTok, Facebook, Google serta Twitter.
Para pengkritik menzahirkan kebimbangan mereka bahawa pensyaratan bagi platform-platform besar media sosial itu untuk memadam kandungan yang bersifat “sah namun berbahaya” itu boleh membawa kepada masalah penapisan dan membenam hak kebebasan bersuara.
Perdana Menteri UK, Rishi Sunak kini telah membatalkan bahagian tertentu pada bil tersebut dengan mengesahkan bahawa ianya mampu untuk menjenayahkan kandungan yang sebenarnya tidak perlu dikelaskan sebagai jenayah.
Michelle Donelan, Setiausaha Digital negara tersebut telah mengatakan bahawa perubahan tersebut telah menghilangkan risiko bagi “firma-firma teknologi ataupun kerajaan akan datang untuk menggunakan undang-undang tersebut sebagai lesen bagi menyekat pandangan-pandangan yang sah”.