Undang-Undang Anti Perhambaan Moden Australia Dikritik Kurang Berkesan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AUSTRALIA, 20 November 2022 – Gabungan kumpulan hak asasi manusia dan ahli akademik Australia menyeru kerajaannya untuk memperkukuh undang-undang anti-perhambaan, lapor sebuah berita antarabangsa.
Hal ini kerana, kumpulan hak asasi manusia itu termasuklah Institut Hak Asasi Manusia Australia serta Pusat Perniagaan dan Sumber Hak Asasi Manusia UK menyatakan bahawa biarpun undang-undang perhambaan moden telah diperkenalkan namun perniagaan Australia masih gagal untuk menangani risiko buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka.
Jelas kumpulan itu lagi, didapati dua daripada tiga syarikat masih gagal mematuhi keperluan pelaporan yang dikehendaki oleh undang-undang manakala lebih separuh syarikat gagal melaksanakan komitmen untuk meningkatkan usaha anti-perhambaan mereka.
Berikutan itu, mereka menggesa kerajaan Australia untuk merombak undang-undang anti-perhambaan tersebut bagi memastikan syarikat tidak menggunakan buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka.
Kumpulan itu turut menyarankan agar undang-undang diperkukuh dengan menubuhkan pesuruhjaya anti-perhambaan bebas serta memperkenalkan penalti sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Menurut laporan Broken Promises, industri yang berisiko dalam perhambaan moden antaranya ialah industri pakaian di China, industri makanan laut di Thailand, industri hasil segar di Australia dan termasuklah industri sarung tangan getah di Malaysia.