Tempatan

Kerajaan Negeri Diseru Bangunkan Tanah Terbiar, Basmi Kemiskinan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IPOH, 13 Disember 2023 – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri menawarkan tanah terbiar sesuai kepada kementeriannya untuk dibangunkan bagi diusahakan projek pertanian moden untuk membasmi kemiskinan.

Jelasnya, projek tersebut akan dijalankan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Terdapat pilihan untuk menjalankan inisiatif itu atas tanah milik kerajaan Pusat atau negeri, namun baginya saiz yang lebih luas adalah di bawah pihak negeri.”

Mengulas lanjut, Rafizi berkata kerajaan persekutuan akan berikan dana, konsep, latihan sementara kerajaan negeri pula memberikan tanah.

“Kerajaan persekutuan memberi tanah itu bukan bermaksud bagi tanah kepada kerajaan Persekutuan, tetapi kami (Pusat) pinjam untuk sekurang-kurangnya lima tahun.”

“Hak milik tanah dan geran semua masih dimiliki kerajaan negeri, tapi dengan persetujuan untuk lima tahun ini, kita buka yang ini (IPR) dahulu. Daripada terbiar baik kita buka untuk beri manfaat kepada orang ramai.”

Dalam pada itu, Rafizi menyambut baik apabila kerajaan negeri Perak sedia berbincang menyediakan tanah kepada Pusat bagi maksud pembasmian kemiskinan dan jaminan sekuriti makanan.

“Kalau perkara ini disambut baik, kita dapat skalakan projek IPR ini di seluruh negara. Sebab masalah kita ialah tanah. Duit ada banyak mana pun tetapi kalau tanah tiada, kita tidak boleh buat. Saya berharap usaha kerajaan negeri Perak disambut oleh kerajaan negeri lain, barulah kita boleh bawa pertanian moden ini ke daerah di seluruh negara,” katanya.

Rafizi berkata demikian semasa hadir ke pelancaran projek IPR – Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara (IPR-INTAN NCER) pada Selasa.

Pelancaran projek IPR-INTAN NCER di Hulu Kinta itu membabitkan peserta daripada golongan B40 untuk bertani secara moden dengan jangkaan pendapatan RM2,000 sebulan.

Projek itu dilaksanakan dalam kawasan Hospital Bahagia Ulu Kinta bawah kerajaan Pusat dengan tanaman cili dan terung, serta telah mempunyai pembeli tersedia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: