Ummi Annur, Gadis Berhijab Pertama Diterima Masuk Ke Akademi Tentera Udara AS
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2023 – Ummi Annur Syahmina Sohaini, 20, terpilih menjadi gadis pertama bertudung dari Malaysia yang diterima masuk ke akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat.
Beliau merupakan kadet wanita yang ketiga telah dipilih untuk menyertai program ini.
BACA JUGA: Pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat: Jalan Ditutup Sembilan Bulan Bermula Khamis Ini
BACA JUGA: Gaji Rendah Faktor Pelajar Tidak Sambung Belajar
BACA JUGA: Subsidi Buat Golongan ‘Kayangan’ Tidak Munasabah Diteruskan – PM
Menurut laporan sebuah portal tempatan, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu akan berlepas ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado tidak lama lagi untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Penyelidikan Operasi dan Sains Data.
Sebagai pelatih pertama bertudung di akademi itu, Ummi Annur Syahmina menjangkakan cabaran yang bakal dihadapi.
“Saya terkejut apabila mengetahui bahawa saya adalah wanita berhijab pertama dari Malaysia yang terpilih namun di sinilah saya sangat percaya ada keperluan untuk saya menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang wanita Muslim yang muda dan patriotik.”
“Saya benar-benar berbangga untuk menghadiahkan negara dengan apa yang telah saya capai dan pelajari dan kini bersedia untuk menyumbang dengan minat yang tinggi dan berkat (doa) daripada banyak pihak,” ujarnya.
Beliau merupakan salah seorang dari dua kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) yang terpilih untuk menyambung pengajian ke akademi tentera berprestij AS.
Seorang lagi kadet ALK yang terpilih adalah Kadet Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari, 20, yang akan menyertai Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point, New York.
Dua kadet ALK ini merupakan antara 15 calon dari 89 buah negara yang dijemput untuk menyertai pemilihan program itu.
Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters berkata, Kadet Ummi Annur Syahmina Sohaini dan Kadet Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari telah melalui pemilihan yang kompetitif sebelum berjaya menyertai program itu.
Tambahnya, calon-calon yang dijemput dari 89 buah negara telah dinilai dari segi akademik, keupayaan fizikal, perwatakan dan daya kepimpinan.
Ketika ini terdapat lapan kadet dari Malaysia di Akademi Ketenteraan AS – dua di Akademi Tentera AS (West Point, New York), tiga di Akademi Tentera Laut AS (USNA) dan tiga lagi di USAFA.
Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh akan menamatkan pengajian di akademi masing-masing pada 2027.