UMMAH Gesa Menteri Tarik Segera Filem Mentega Terbang
KUALA LUMPUR, 02 Mac 2023 – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa agar Menteri Agama dan Menteri Komunikasi menahan serta menarik segera filem Mentega Terbang daripada terus ditayangkan.
BACA JUGA: Lebih Separuh Responden Setuju Transgender Berhak Peroleh Kehidupan – IPSOS
BACA JUGA: Banjir: TUDM Lakukan Penetbangan Ihsan Selamatkan Wanita Mengandung
BACA JUGA: PERHATIAN: Jalan Kuantan-Segamat Tutup Sampai Sabtu
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata filem tersebut agak mengejutkan kerana ia melibatkan beberapa babak serta dialog yang mencurigakan serta mengaburi kemurnian dan kesucian Islam secara halus.
“Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) telah menonton filem Mentega Terbang yang mula ditayangkan di platform internet bermula pada 23 Jan 2023. Filem ini tidak melalui tapisan Lembaga Penapisan Filem Negara (FINAS).”
“Filem ini seolah cuba menggambarkan Islam yang liberal dan toleransi agama yang tidak menepati prinsip keimanan aqidah Islam yang sebenarnya. Ia memberi gambaran Islam yang tidak tepat dan mengelirukan generasi muda,” jelasnya menerusi sebuah hantaran di laman Facebook rasmi UMMAH.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa agar filem tersebut disiasat oleh satu jawatankuasa khas bagi meneliti kandungan filem tersebut yang berupaya untuk menjejaskan akidah umat Islam.
Malah, beliau turut mendesak agar Menteri Agama sentiasa peka dan tegas serta menangani isu-isu yang menyentuh kesucian dan keaslian agama Islam ini dalam kadar segera demi memelihara kesucian agama Islam setiap masa sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mendapati terdapatnya pertentangan yang jelas dengan akidah serta cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Baru-baru ini juga, Zabidi Mohamed, seorang penulis dan penulis skrip filem mendakwa filem berdurasi 1 jam 44 minit yang mula ditayangkan di platform internet @Viu itu mempunyai kriteria serta ciri-ciri blasphemy terhadap Islam.