Tempatan

Umat Islam Tidak Perlu Ragu Arah Kiblat Masjid, Surau Di Selangor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 01 Mei 2023 – Masyarakat Islam tidak perlu meragui penentuan arah kiblat di masjid dan surau negeri Selangor, tegas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof.

Kenyataan tersebut dibuat selepas akhbar tempatan mengeluarkan laporan bertajuk ‘40 peratus arah kiblat Lembah Klang tersasar’ berdasarkan pernyataan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) baru-baru ini.

Menurut MAIS, tajuk laporan adalah kurang tepat dan telah menimbulkan salah faham serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di negeri Selangor.

Pihaknya telah meminta penjelasan PAFNS dan menegaskan bahawa laporan akhbar itu hanya merujuk kepada penentuan arah kiblat di rumah kediaman sahaja berdasarkan permohonan khidmat penentuan arah kiblat yang diterima persatuan itu.

BACA JUGA: Apa Peranan Sebenar OIC? Menteri Pertanian Persoal Keabsahan OIC

BACA JUGA: Malaysia Akan Jadi Lebih Kering & Panas Bermula Jun Hingga Oktober

BACA JUGA: Dakwaan Fraser Hill ‘Bandar Hantu’, Exco Pelancongan Jamin Siasatan

“Laporan tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan penentuan arah kiblat masjid dan surau di Negeri Selangor.”

Memetik kenyataan sama, “MAIS menegaskan bahawa arah kiblat masjid dan surau sedia ada di Negeri Selangor telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. Selain itu, MAIS turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor ini dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musolla yang baharu mula beroperasi.”

Dalam pada itu, penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Selangor juga selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berhubung Had Berpaling Yang Dibenarkan Daripada Arah Qiblat.

Ia menjelaskan, arah menghadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni dan penentuan had tidak melebihi tiga darjah bagi pesongan mihrab yang dibenarkan boleh dijadikan garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baharu, menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, isu ini turut mendapat perhatian serius Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Baginda tidak mahu mana-mana pihak termasuk media membuat laporan kurang tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat sekali gus mencalarkan imej agama Islam.

MAIS juga mengingatkan orang ramai agar tidak panik dan keliru dengan tajuk akhbar itu malah dinasihatkan untuk terus merujuk pihak MAIS berhubung pengesahan sesuatu perkara yang melibatkan pentadbiran agama Islam, kecuali perkara berkaitan penentuan hukum syarak dan pentadbiran keadilan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: