Tempatan

Umat Islam Tak Masuk Lubang Biawak Dua Kali – Mahmud Hishamuddin

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 Disember 2021 – “Pandangan saya, umat Islam perlu bermula dengan perubahan diri di semua peringkat dan apa yang perlu diingat ialah umat Islam tak masuk lubang biawak dua kali,” ujar Setiausaha Agung Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam PEMBELA, Tuan Mahmud Hishamuddin.

Jelasnya, kalau tidak, kita akan terus jatuh sampai bila-bila. Jika kita berterusan jatuh, usaha untuk bangun itu akan semakin sukar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkenaan dengan penyatuan umat Islam yang dilihat hari ini semakin berpecah.

Bercerita mengenai sejarah ringkas kebangkitan membantah ICERD, Mahmud Hishamuddin berkata, ia bermula apabila timbul kesedaran berlakunya ancaman terhadap agama, bangsa dan tanah air khususnya melibatkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Gerakan itu kemudiannya disusuli dengan penerangan ilmiah berpandukan fakta yang turut diperkata oleh tokoh masyarakat kepada semua lapisan rakyat.”

“Lalu bantahan itu dibawa ke negeri-negeri dan klimaksnya di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018. Semua parti Melayu Islam dijemput hadir, tetapi yang datang memberi sokongan adalah UMNO dan PAS,” kata Mahmud.

Ditanya, apakah keadaan Muafakat Nasional sekarang yang dilihat sepertinya akan berpisah beliau menjelaskan, salah satu hikmah besar jatuhnya Barisan Nasional (BN) berlakunya penyatuan umat Islam oleh dua parti terbesar negara ini.

Selama ini perpecahan umat Islam adalah hanya kerana ideologi politik yang berbeza sehingga sampai ke tahap kafir mengkafir.

Namun, oleh kerana usaha Muafakat Nasional (MN) yang agak lembab dan tidak agresif selain ia dipintas oleh peranan kuasa politik yang rakus, statusnya sekarang agak tergugat.

“Hal ini amat dikesali kerana kerugian besarnya adalah buat umat Islam di negara ini.”

Justeru, perlu ada usaha baru yang lebih murni ke arah penyatuan besar Melayu bertunjangkan ‘Tali ALLAH’.

“Perubahan besar masyarakat Islam masa hadapan perlu bermula melalui kesedaran dari bawah dan perubahan pada diri, dengan pertingkat integriti, intelektualiti dan spiritualiti,” tegas beliau.

Kerana itu, rakyat perlu dididik dengan kefahaman yang benar agar lahir keinginan untuk memilih pemimpin berwibawa yang juga memiliki ciri-ciri integriti, intelektualiti, spiritualiti.

“Sebab itu saya katakan, umat yang baik sudah tentu akan memilih pemimpin yang baik, dalam ertikata lain pemimpin yang baik adalah dari pilihan rakyat yang baik.”

Maka, tidak hairan sedikit masa lagi rakyat khususnya Melayu Islam di negara ini akan bangkit bersatu hati demi menjulang kembali kegemilangan bangsa yang sedang dinanti-nantikan oleh negara ini.

Sebenarnya, masih ada harapan untuk Melayu Islam dan politik Melayu-Islam bangkit membawa perubahan besar kepada masyarakat Islam di masa hadapan.

Pokoknya, mereka mesti menerima nasihat alim ulamak yang rasikh serta mendapat pandangan-pandangan NGO Islam.

“Kerana kita tidak mahu kekuatan umat ini jatuh sekali lagi hanya kerana wujudnya segelintir pemain-pemain politik kotor yang mengambil kesempatan bertopengkan bangsa Melayu dan tanpa segan silu bersembunyi di sebalik nama Islam,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: