Umat Islam Patut Dibakar – Haribhushan Thakur
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NEW DELHI, 10 Mei 2022 – Umat Islam patut dibakar sepertimana penganut Hindu membakar patung Ravana (Raja Syaitan), kata Haribhushan Thakur Bachaul, ahli Dewan Undangan Negeri Bihar dari Parti Bharatiya Janata (BJP).
“Kita perlukan Hanuman ji (tuhan-tuhan Hindu) supaya pemuda kita menjadi kuat, rakyat negara kita lebih kuat.”
“Syaitan seperti Ravana (merujuk kepada umat Islam) yang berkeliaran di Bihar dan seluruh negara juga patut dibakar, sama seperti patung Ravana yang dibakar oleh Hanuman ji,” ujarnya seperti dilaporkan The Wire.
Ramai melihat ‘Syaitan seperti Ravana’ yang disebutkan ahli politik itu sebagai rujukan kepada agama dan golongan minoriti lain terutamanya umat Islam.
Haribhushan juga mengatakan bahawa ‘Ravana’ yang dimaksudkannya berada di daerah Kishanganj, Araria, Purnia dan Katihar dari subwilayah Seemanchal yang mempunyai 47% penduduk Muslim.
Februari lalu, Haribushan mengatakan bahawa umat Islam yang menetap di India harus dilucutkan hak mengundi dan dilayan sebagai warga kelas kedua. Namun, ahli parti pembangkang membantah kenyataan anti-Muslim itu dan menuntut jawatan Haribushan digantung.