Umat Islam Malaysia Ditipu Ulama & Pemerintah Untuk Tumpukan Perhatian Kepada Ritual — Pengasas Islamicity Index
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 — Malaysia berada di kedudukan ke-43 daripada 149 dalam indeks Islamicity Index 2022, sebuah indeks yang mengukur betapa “Islamnya” sesebuah negara.
Walaupun Malaysia merupakan negara yang berprestasi terbaik antara semua negara majoriti Islam, namun, menurut pengasasnya, Hossein Askari kepada sebuah portal tempatan berbahasa Inggeris, umat Islam Malaysia telah ditipu oleh ulama dan pemerintah untuk menumpukan perhatian kepada ritual dalam ibadah.
Dakwanya, melakukan ritual Islam tidak boleh dikelirukan dengan menjalankan ajaran Islam – iaitu indeks yang diukur dalam laporan ini.
BACA JUGA: SUHAKAM Perlu Ikut Perlembagaan Dan Tidak Terima Dana Asing – NGO Islam
BACA JUGA: Selepas Batal Lesen Judi, MB Perlis Janji Hapuskan Judi Haram
BACA JUGA: PM Nafi Pernah Arahkan Tindakan Diambil Ke Atas Sesiapa
“Malangnya, umat Islam telah ditipu oleh ulama dan pemerintah untuk menumpukan perhatian kepada ritual, menahan diri daripada soalan dan perbincangan untuk lebih memahami mesej dalaman agama mereka dan menyerahkan segala-galanya di tangan mereka yang berkuasa.”
Telah beliau lagi, disebabkan situasi politik itu, negara-negara Islam hari ini dilihat tidak menegakkan keadilan dan kebebasan yang dituntut oleh agama.
Katanya, pelaksanaan pihak berkuasa Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mungkin baik dari segi teori tetapi tidak produktif secara praktikal.
“Apabila saya melihat kembali sejarah Islam, saya tidak boleh tidak menyimpulkan bahawa pihak berkuasa agama dan ulama telah dipujuk oleh pemerintah/pihak berkuasa/pemerintah untuk menggunakan agama sebagai senjata kawalan — untuk mengindoktrinasikan rakyat mengikut telunjuk mereka yang berkuasa dan tidak bertanya soalan.”
Berikutan itu, Hossein Askari yang juga pakar ekonomi itu mencadangkan agar umat Islam mendapatkan nasihat daripada alim ulama yang tidak mempunyai kaitan dengan pemerintah atau pihak berkuasa supaya perbincangan dan perbahasan boleh berlaku secara bebas “bagi mencapai kata sepakat mengenai penerapan ajaran Islam dalam dunia yang sedang berkembang”.
Kesimpulannya, Islamicity Index menegaskan bahawa Malaysia menunjukkan prestasi terbaik dalam sektor ekonomi tetapi masih jauh lagi untuk menjadi lebih “Islam” berkaitan hak asasi manusia.
“Walaupun Malaysia sekali lagi antara negara Islam terbaik antara semua negara majoriti Islam dalam soal kedaulatan undang-undang, ia masih boleh melakukan lebih banyak lagi untuk memastikan sistem perundangan adil dan saksama serta di luar campur tangan ahli politik yang korup,” katanya lagi.