Antarabangsa

Umat Islam Dijadikan Kambing Hitam – Rektor Masjid Perancis

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PARIS, 31 Mac 2022 – “Hakikat mencari kambing hitam telah wujud sejak tahun 1930 ketika jari mula dituding kepada Yahudi yang menjadi ‘masalah seluruh masyarakat’. Namun hari ini ia bukan lagi Yahudi tetapi Muslim,” ujar Rektor Masjid Perancis, Chems-eddine Hafiz.

Jelas beliau seperti yang dilaporkan The Guardian, peningkatan retorik anti-Islam dalam kempen Pilihan Raya Presiden Perancis berisiko mewujudkan ‘kebencian’ terhadap umat Islam sebagaimana hentaman yang diterima orang Yahudi sebelum ini.

Hafiz turut memaklumkan bahawa beliau adalah orang pertama yang mengutuk keganasan Islam di negara itu, serta masjidnya menjadi nadi gerak kerja untuk memerangi keganasan yang berlaku di Perancis.

Walaupun begitu, beliau tetap khuatir sekiranya rakyat Perancis Muslim yang mematuhi undang-undang dikaitkan dengan serangan pengganas, walaupun pada hakikatnya mereka sendiri sering menjadi mangsa keganasan.

Tambahnya lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sesetengah calon pilihan raya Perancis bercakap tentang ‘masalah’ Islam sekaligus mengaitkannya dengan imigresen dan keganasan.

“Muslim Perancis telah menghadapi penghinaan atau dipandang bahawa Islam tidak serasi dengan peraturan Republik Perancis atau Barat. Tetapi dalam pilihan raya ini, ia menjadi lebih serius kerana ada calon yang menegaskan bahawa Islam dan umatnya tidak boleh tinggal di Perancis, dan tempat mereka di tempat lain serta jika mereka ingin tinggal di negara ini, mereka mesti tidak mengamalkan lagi agama mereka,” luahnya.

Beliau turut melaporkan bahawa ia sudah menjadi satu kebiasaan bagi calon presiden untuk mengkritik Islam dan umat Islam serta melihat mereka sebagai berbahaya dan tidak selamat.

Selain itu, Hafiz meluahkan kebimbangannya jika berlaku peningkatan aktiviti keganasan anti-Islam selepas pilihan raya dijalankan.

Presiden Perancis Emmanuel Macron pernah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana mempertahankan hak kebebasan rakyat Perancis untuk menyerang dan menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: