Pendapat

ULASAN TERHADAP SYOR LAPORAN REID 1956-57 BERHUBUNG KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA BAGI PERSEKUTUAN

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Saya terpanggil untuk mengulas syor sebenar oleh Suruhanjaya Reid dan asas bagi penggubalan Perkara 3(1) dan Perkara 3(4), Perlembagaan Persekutuan.

Ramai sarjana dan ahli-ahli Politik terkeliru dengan sikap Raja-Raja Melayu, apa yang sebenarnya disyorkan oleh Suruhanjaya Reid, serta apa pula yang akhirnya diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-pembesar Memerintah) semasa menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Raja-Raja pada peringkat awal tidak bersetuju cadangan Perikatan untuk memasukkan peruntukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan kerana ketika itu kedudukan mereka sebagai ketua-ketua agama di Negeri masing-masing masih belum diperincikan lagi. Raja-Raja Melayu peka dengan tanggungjawab mereka untuk memelihara ajaran agama Islam sesuai dengan kedudukan mereka dalam sistem politik traditional Melayu.

Isu sikap Raja-Raja Melayu di atas perlu dijelaskan agar tidak lagi dipanjangkan kekeliruan dalam masyarakat tentang kedudukan serta tafsiran Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Draf Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kedudukan Islam yang akhirnya diperkenankan adalah lanjutan daripada terma-terma dalam Perjanjian Negeri 1948 dan cadangan awal Suruhanjaya Reid.

Cadangan awal Suruhanjaya Reid berbunyi:

“We have considered the question whether there should be any statement in the Constitution to that effect that Islam should be the State religion. There was universal agreement that if any such provision were inserted it must be made clear that it would not in any way affect the civil rights of non-Muslims”

Malah Suruhanjaya Reid berpendirian:

“There is nothing in the draft Constitution to affect the continuance of the present position in the States with regard to recognition of Islam or to prevent the recognition of Islam in the Federation by legislation or otherwise in any respect which does not prejudice the civil rights of individual non-Muslims” (Laporan Suruhanjaya Reid 1956-57: 73).

Amat jelas sekali bahawa frasa,

“the religion of Malaysia shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disabilities on non-Muslim nationals professing and practicing their own religion and shall not imply that the state is not a secular state”

bukanlah asas kepada penggubalan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang disyorkan oleh Suruhanjaya Reid kepada Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1957. Sebaliknya, cadangan Perikatan untuk memasukkan peruntukan

“shall not imply that the state is not a secular state” yang sering didakwa oleh sebahagian sarjana untuk mengabsahkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular telah ditolak oleh Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1957 dan Raja-Raja Melayu.

Hakim Abdul Hamid yang mengemukakan alasan agar peruntukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dimasukkan dalam draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menghujahkan,:

“In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required to be done is to transplant it from the State Constitution and to embed it in the Federal” (Laporan Suruhanjaya Reid 1956-1957: 100).

Di dalam Perlembagaan Persekutuan termaktub bentuk-bentuk diskriminasi yang dibenarkan, antaranya ialah;

1. Kedudukan orang Melayu dengan orang bukan Melayu;

2. Kedudukan orang Islam dengan orang bukan Islam; dan

3. Kedudukan warganegara dengan bukan warganegara.

Dalam pada itu, diperuntukkan jaminan kepentingan yang sah iaitu “civil rights” bagi orang bukan Islam, bukan Melayu dan bukan warganegara seperti termaktub dalam peruntukan “fundamental liberties” di bawah Perlembagaan Persekutuan dari Perkara 5 hingga Perkara 13.

Perkara 3(4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi, “Tiada apa-apa pun di dalam peruntukan ini yang boleh mengurangkan lain-lain peruntukan Perlembagaan” itu memberi maksud, Perkara 3(1) itu hendaklah;

1. Tidak menafikan bidang kuasa Islam di Negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri mereka masing-masing; dan

2. Tidak memprejudiskan “Civil rights” bagi orang bukan Islam.

Suruhanjaya Reid tidak mengesyorkan prinsip Islam ditegah dalam undang-undang Persekutuan bahkan bersetuju kedudukan Islam dikekalkan jika tidak menafikan “civil rights of individual non-Muslims”. Dakwaan bahawa Perlembagaan Persekutuan hendaklah dikekalkan dengan identiti sekular adalah kenyataan tidak berasas malah menghina Institusi Raja yang diamanahkan untuk memelihara kesucian ajaran agama Islam.

Tegasnya, Suruhanjaya Reid tidak pernah mencadangkan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara sekular. Sebaliknya undang-undang Islam dan prinsip perundangan Islam boleh diperkenalkan dalam undang-undang Persekutuan selagi tidak memprejudiskan “civil rights of individual non-Muslims”. Bahkan keadaan-keadaan tempatan perlu diberi perlindungan oleh Mahkamah berlandaskan peruntukan Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Semakan 1972).

Ringkasnya, apa yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid adalah agar Perlembagaan Persekutuan tidak menafikan “civil rights of individual non-Muslims”. Prinsip “civil rights of individual non-Muslims” sudah dimaktubkan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 11 dan Perkara 12. Islam sebagai agama bersifat “rahmatan lil ‘alamin” sememangnya menjamin hak ahl dzimmah (orang bukan Islam) seperti terkandung dalam Perkara-perkara 11 dan 12. Pelaksanaan undang-undang Islam dan prinsip perundangan Islam secara keseluruhannya tidak akan memprejudiskan “civil rights of individual non-Muslims” yang sedia terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hak yang dijamin bagi orang bukan Islam di sini ialah hak untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Bagi orang yang tidak berugama, mereka tidak mempunyai hak untuk menuntut pengiktirafan amalan yang bercanggah dengan agama dan prinsip moral, juga dilarang mendakyahkan pegangan tanpa agama.

Justeru Perkara 3(4) tidak boleh ditafsir dengan maksud untuk meletakkan kedudukan Perkara 3(1) lebih rendah daripada peruntukan lain dalam Perlembagaan. Perkara 3(4) sesungguhnya menjelaskan bagaimana Islam sebagai ciri prinsip kedaulatan yang termaktub dalam Perkara 181(1) dilaksanakan melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan Suruhanjaya Reid juga perlu difahami dengan betul, Suruhanjaya ini tidak memiliki kuasa kedaulatan untuk menggubal undang-undang, tetapi berfungsi sebagai penderaf atau pencadang kepada pemegang kuasa kedaulatan yang diamanahkan bagi pertimbangan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan, serta akhirnya persetujuan Raja-Raja Melayu melalui enakmen-enakmen Negeri dan Ordinan Persekutuan.

Justeru, selaras dengan kedudukan Raja-Raja sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT dan prinsip kedaulatan negara berpaksikan “patuh syariah”, usaha untuk mengharmonikan undang-undang Persekutuan adalah tanggungjawab semua pihak khususnya mereka yang melaksanakan fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu iaitu anggota-anggota di Cabang Legislatif, Cabang Eksekutif dan Cabang Kehakiman.

Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi ialah Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan juga pakar Perlembagaan

Pautan Asal: Facebook Ibn Wan Husain Wan

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: