Tempatan

Kad Kesihatan Warga Emas Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ROMPIN, 20 Januari 2022 – Kerajaan Pahang buat pertama kali dalam sejarah melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang yang melibatkan 18,000 penerima secara bersasar dengan keseluruhan peruntukan bernilai sebanyak RM10 juta setahun.

“Penerima kad kesihatan ini boleh mendapatkan rawatan prosedur am atau urusan perubatan di 50 klinik swasta yang telah dilantik sebagai panel. Ini memberikan mereka alternatif dalam mendapatkan rawatan selain daripada fasiliti kesihatan kerajaan.”

Keterangan itu disampaikan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu sidang media khas selepas melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada dua hari lalu.

Tambah beliau, pelaksanaan kad yang bernilai RM500 bagi setiap penerima itu akan dibahagikan kepada dua peringkat. Fasa pertama akan melibatkan seramai 9,009 penerima Bantuan Orang Tua Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang bermula pada 18 Januari 2022.

Berdasarkan data penerima bagi fasa pertama, daerah Kuantan merekodkan jumlah paling ramai iaitu 1,829 penerima. Kemudian diikuti dengan Temerloh (1,408 orang), Pekan (1,347 orang), Lipis (996 orang) dan Bentong (762 orang).

Manakala, fasa kedua akan diteruskan dengan baki sedia ada pada Mac ini. Ia membabitkan warga emas yang memerlukan bantuan dan telah dikenal pasti oleh Pejabat Daerah yang berkenaan.

Pemberian kad kesihatan ini sebagai tanda komitmen kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan asas rakyat daripada segenap usia yang menjadi antara asas Belanjawan Pahang 2022 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 6 Disember lepas.

Bagi menutup sidang media yang dijalankan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut merujuk kepada pemberian insentif Anak Kebanggaan Pahang kepada 25,000 bayi yang lahir tahun ini. Ia membabitkan peruntukan RM5 juta dan insentif Kad Diskaun Pelajar Kebanggaan Pahang berjumlah RM4.87 juta kepada 48,711 pelajar golongan miskin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: