Antarabangsa

Ulang Tahun 9/11: Rakyat Afghanistan Mangsa Perang AS?

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AFGHANISTAN, 14 September 2022 – 11 September 2001 merupakan sebuah detik yang telah mengubah sejarah dunia susulan serangan kumpulan al-Qaeda ke atas Pusat Perdagangan Dunia (World Trade Centre, WTC) di Amerika Syarikat (AS).

AS kemudiannya ‘membalas’ serangan tersebut dengan menakluki Afghanistan, sebuah tindakan yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat dunia, kerana penaklukan tersebut dikatakan hanya merugikan rakyat Afghanistan yang tiada kaitan dengan serangan ke atas WTC.

Menurut sebuah laporan antarabangsa, tiada seorang pun warganegara Afghanistan yang terlibat dalam rampasan pesawat penumpang yang digunakan untuk melanggar WTC ketika peristiwa 9/11.

19 orang individu yang telah bertindak merampas pesawat penumpang tersebut kesemuanya sama ada berbangsa Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Lubnan.

Perang tersebut telah mengorbankan lebih kurang 70,000 nyawa orang awam, dengan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal dan sumber sara hidup.

Namun, apa yang memeranjatkan adalah, menurut Timbalan Menteri Ekonomi Afghanistan, Latif Nazari, bukan sahaja penduduk Afghanistan tidak terlibat, Ketua al-Qaeda yang sedang diburu AS juga tiada di Afghanistan.

“Penaklukan AS ke atas Afghanistan sebagai tindak balas terhadap 9/11 adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa. Warga Afghanistan tidak terlibat dalam serangan tersebut dan Ketua al-Qaeda ketika itu tiada di Afghanistan,” jelasnya.

“AS hanya menakluki negara kami untuk mencapai matlamat geopolitik mereka,” tambahnya lagi.

Kerugian yang dialami susulan penaklukan AS ini bukan sahaja dirasai oleh penduduk Afghanistan, bahkan tentera AS juga kehilangan ribuan nyawa untuk serangan yang disifatkan tidak berasas tersebut; di samping ‘membazirkan’ USD 2.313 trillion duit pembayar cukai.

Menurut laporan, yang mengaut keuntungan dari peperangan tersebut hanyalah pembekal senjata yang berjaya memperolehi hasil beberapa billion USD dengan membekalkan senjata bagi penaklukan tersebut.

Menurut Ramazan Ali Fasahat, seorang pensyarah berbangsa Afghanistan, penaklukan tersebut hanyalah merupakan sebuah permainan geopolitik AS bagi mencipta jurang antara dunia barat dan dunia Islam, selain dari meningkatkan penjualan senjata.

Sehingga kini, Afghanistan masih lagi mengharungi kesan-kesan dari serangan AS tersebut, di mana ramai yang jatuh ke tampuk kemiskinan. Keselamatan mereka juga diancam susulan bahan letupan yang masih belum meletup, ditinggalkan oleh penakluk AS di tanah Afghanistan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: