Antarabangsa

UKHSA Sahkan Lelaki Diserang Virus Monkeypox, Jangkitan Yang Jarang Berlaku

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ENGLAND, 08 Mei 2022 – Pihak Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) mengesahkan bahawa seorang individu didiagnosis mengalami cacar monyet (Monkeypox) yang jarang berlaku selepas melalui perjalanannya dari Nigeria.

Pesakit itu dipercayai dijangkiti jangkitan tersebut sebelum tiba di UK.

Pakar UKHSA bekerjasama dengan pihak National Health Service (NHS) dan akan menghubungi kontak rapat pesakit tersebut bagi menyampaikan maklumat dan nasihat kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia termasuk menghubungi para penumpang yang mempunyai penerbangan yang sama dengan pesakit tersebut sewaktu ke UK.

Menurut pihak UKHSA, biarpun mereka yang tidak mempunyai gejala dianggap tidak dijangkiti jangkitan itu, namun mereka tetap akan dihubungi bagi memastikan mereka mendapatkan rawatan awal sekiranya kondisi kesihatan mereka tidak baik.

“Kami sedang bekerjasama dengan NHS England dan NHS Improvement untuk menghubungi individu yang berkontak rapat dengan kes bagi melakukan penilaian sebelum memutuskan mereka dijangkiti agar nasihat dapat diberikan sekiranya perlu,” ujar Dr Colin Brown, Pengarah Jangkitan Klinikal dan Penyakit Berjangkit, UKHSA.

Katanya, UKHSA dan NHS mempunyai prosedur kawalan jangkitan yang baik bagi menangani kes penyakit berjangkit yang diimport dan prosedur itu akan dipatuhi dengan ketat.

Beliau menekankan bahawa cacar itu tidak mudah merebak kepada manusia dan ia melibatkan risiko yang rendah untuk dijangkiti oleh orang awam.

Pesakit yang dijangkiti jangkitan itu akan mengalami gejala-gejala awal seperti demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, menggigil dan keletihan.

Bukan itu sahaja, pesakit juga boleh mengalami ruam yang merebak di bahagian muka lalu berterusan sehingga ke bahagian badan yang lain. Ruam itu akan berubah hingga ke beberapa peringkat yang akhirnya akan membentuk kudis.

“Pesakit sedang dirawat di unit pengasingan oleh kakitangan klinikal pakar kami di Hospital St. Thomas dengan prosedur pencegahan jangkitan yang ketat. Ini adalah contoh yang baik berhubung kerjasama antara rangkaian antarabangsa daripada pihak Penyakit Berjangkit Berimpak Tinggi dan pihak UKHSA dalam bertindak balas dengan pantas terhadap kes-kes sporadik ini,” kata Dr Nicholas Price, Pengarah Rangkaian Penyakit Berimpak Tinggi (bawaan udara) di NHS England dan Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Guy’s and St. Thomas’.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: