Pendapat

Kontektualisasi Kalimah Allah Ke Arah Pluralisme Agama – Datuk Zainul Rijal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Bukan sahaja kalimah Allah…

Umat Islam dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Jill Ireland melawan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini yang memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri melarang orang bukan Islam menggunakan antara lain kalimah Allah bagi merujuk agama mereka adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.  Penghakiman tersebut turut membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah-kalimah lain iaitu Baitullah, Kaabah dan Solat untuk tujuan yang sama.

Jelas penghakiman tersebut tidak selari dengan penghakiman terdahulu yang diputuskan di dalam kes Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur melawan Kementerian Dalam Negeri yang memutuskan kalimah Allah bukanlah bahagian yang penting di dalam agama Kristian yang menyebabkan larangan boleh dilakukan.

Ruangan kali ini bukanlah ingin mengulas kedua-dua penghakiman tersebut tetapi hanya ingin menukilkan berkaitan aspek kontektualisasi dan normalisasi di dalam masyarakat kita sejak dahulu lagi.

Kontekstualisasi memberi gambaran tentang suatu proses di mana berita tentang kepercayaan sesuatu agama dibuat menjadi relevan dan sebati dengan budaya orang yang menerima seruan agama tersebut. Manakala normalisasi memberi erti  tindakan menjadikan sesuatu itu biasa atau normal dan mudah diterima oleh sesebuah masyarakat.

Tindakan-tindakan sebegini mungkin di bawah sedar kita sudah pun mengambil tempat dalam masyarakat kita sejak lama dahulu.  Sebagai contoh, kalau dahulu kita sangat jelas kuil adalah tempat melaksanakan amalan orang Hindu, gereja bagi orang Kristian, tokong bagi penganut Budha dan gurdwara bagi orang Sikh. Istilah-istilah yang dipakai tersebut sudah mula dikesampingkan kerana istilah yang lebih menyeluruh digunakan iaitu rumah ibadat. Kini, apabila istilah rumah ibadat digunakan, kita mungkin tidak dapat membezakan sama ada ia masjid, kuil, gereja, tokong ataupun gurdwara. Sudah tiada perbezaan lagi antara tempat-tempat tersebut.

Begitu juga dahulu kita selalu katakan umpamanya orang Budha menyembah tokong, orang Hindu menyembah berhala dan lain-lain lagi. Tapi kini istilah sembah tidak lagi digunakan sebaliknya istilah sembahyang digunakan. Jadi ramailah yang mengatakan seperti ‘ Ah Keong bersembahyang di rumah ibadat mereka’. Tiada perbezaan antara bersembahyang bagi orang Islam dengan yang bukan Islam.

Yang lebih menggusarkan orang Islam lagi apabila perkataan sembahyang itu juga tidak mahu digunakan oleh sebahagian orang bukan Islam sebaliknya mereka mendambakan menggunakan perkataan solat. Walaupun hakikatnya perkataan solat tersebut bukanlah perkataan di dalam Bahasa Melayu tetapi mungkin bagi tujuan normalisasi ia digunakan juga.

Saya mendedahkan perkara ini bagi memberi cetusan minda betapa proses kontekstualisasi dan normalisasi ini telah pun berlaku di dalam masyarakat kita. Bukanlah tujuan saya untuk membezakan antara agama bagi maksud diskriminasi tetapi pada pandangan saya adalah lebih baik setiap agama itu diidentitikan dengan perkataan-perkataan yang sesuai dengan mereka sehingga tidak membawa kekaburan kepada sesiapa pun. Perbezaan bukan suatu yang merugikan kerana perbezaan itu sendiri merupakan kekuatan di dalam kepelbagaian penduduk di Malaysia selagi hormat-menghormati dan bertoleransi menjadi prinsip yang diamalkan.

Saya khuatir jika proses kontekstualisasi dan normalisasi ini terus dilakukan, pasti suatu hari nanti kita sudah tidak dapat membezakan satu agama dengan agama yang lain dan menganggap semua agama adalah sama. Jika ini berlaku, pluralisme agama akan berakar umbi di dalam masyarakat kita. Pluralisme agama bermakna mengakui semua agama adalah benar, ia sangat bertentangan dengan akidah Islam yang mempertegaskan satu-satunya agama yang diterima Allah swt adalah agama Islam. Oleh yang demikian, memegang tekad semua agama adalah benar menyimpang dari akidah Islam itu sendiri bagi orang Islam.

Sekiranya semua agama adalah benar, bertukar-tukar agama pula akan merupakan suatu yang normal.

Oleh yang demikian proses kontekstualisasi dan normalisasi ini perlu diperhalusi semula agar masyarakat Islam tidak akan terperangkap di dalam kekeliruan yang dinyatakan di atas. Mungkin masih belum terlambat bagi kita kembali kepada istilah asal yang jelas dan tidak mengelirukan tersebut.

Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal bin Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: