UEC Tidak Relevan Untuk Pupuk Perpaduan – Awang Sariyan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 Disember 2022 – “Pada hemat saya, bukan sahaja pengiktirafan UEC itu tidak bertaraf “bukan keutamaan” malah tidak relevan sama sekali dengan tujuan memupuk perpaduan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan ciri-ciri kenegaraan. UEC berada di luar kerangka ciri kenegaraan,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Beliau menegaskan, perhatian penting perlu diberikan kepada falsafah dan matlamat sistem pendidikan negara yang dirancang dan dilaksanakan untuk memenuhi asas kenegaraan, terutama perpaduan kebangsaan dan peningkatan pancang kenegaraan yang menjadi asas jati diri warganegara Malaysia, termasuklah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
“Kewujudan sekolah yang enggan tertakluk kepada kurikulum kebangsaan itu sendiri menimbulkan kesangsian bagaimana sekolah yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan patut diberi layanan dengan mengiktiraf sijil yang dikeluarkannya.”
Walaupun menurut Dong Zong kurikulum asal yang berorientasikan latar di Taiwan telah “diMalaysiakan” namun, mata pelajaran Bahasa Melayu tidak disyaratkan sebagai lulus. Demikian juga, ketiadaan mata pelajaran Sejarah yang berkaitan dengan penghayatan sejarah tanah air Malaysia.
Jadi, perkara ini menimbulkan persoalan apakah yang telah “diMalaysiakan”? Bahkan kurikulum yang menjadi kompas sekolah persendirian Cina itu masih menjadi misteri dan sukar diperoleh maklumat rasminya.
“Pada hemat saya, sijil persendirian biarlah berada dalam taraf persendiriannya, apatah lagi sijil itu mewakili hanya sejumlah rakyat, bahkan juga hanya mewakili sejumlah rakyat berketurunan Cina. Anggaran yang pernah dibuat adalah bahawa UEC hanya melibatkan kira-kira 15 peratus pelajar di negara ini,” tegas Profesor Awang Sariyan.
Ujarnya lagi, mengiktiraf UEC akan mengundang pelbagai sijil lain yang dituntut untuk diktiraf, sehingga akhirnya negara kini kebanjiran pelbagai jenis sijil dan menggerhanakan sijil yang bersifat kebangsaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).”
“Bahkan ada dalam kalangan orang Cina sendiri mengatakan, mereka lebih “setia kepada negara” dan tidak menyetujui pengiktirafan UEC serta menganggap UEC merampas hak mereka yang menghantar anak ke sekolah kebangsaan.
Kata beliau lagi, apa-apa pun keputusan pemerintah, asas terpenting yang mesti difikirkan adalah bahawa negara terbina dan terlestari dengan adanya pancang-pancang kenegaraan yang antaranya dilaksanakn melalui sistem pendidikan.