UEC: Suatu Isu Berat Bagi PAS – Khairul Nadzir Helmi
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 15 September 2021 – “Silibus UEC yang digunakan buat masa ini tidak memupuk sifat patriotik dan cinta akan negara dalam diri pelajar sepertimana sistem pendidikan kebangsaan,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar.
Selain itu, usaha bagi melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberikan keharmonian pada negara, kemakmuran pada keluarga dan masyarakat seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dikhuatiri tidak akan tercapai.
Menurutnya, ianya adalah suatu isu yang berat bagi Pemuda PAS.
Oleh itu, Dewan Pemuda PAS berpandangan sebarang usaha mengiktiraf UEC harus dibuat secara berhati-hati, serta dibincangkan terlebih dahulu secara bersama.
Dewan Pemuda PAS Malaysia juga meminta penjelasan daripada Perdana Menteri Malaysia berkenaan hal ini dan menuntut YAB Perdana Menteri mendedahkan secara terperinci berkenaan CSA yang dibuat antara kerajaan dan pembangkang, agar rakyat jelas dengan semua tuntutan yang dibuat oleh mereka.
Juga tidak ada sebarang tuntutan yang bercanggah dengan aspirasi rakyat dan negara diluluskan akibat muslihat politik ini.
Tambah beliau, Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa sebarang usaha mengiktiraf UEC hendaklah dibuat secara berhati-hati dan bukan secara tergesa-gesa.
“Meluluskan UEC ini yang mengikut sukatan pelajaran dari negara Taiwan pastinya sedikit sebanyak akan memberikan kesan bagi masa depan negara Malaysia.”
Pengiktirafan UEC tanpa memikirkan kesan dan akibat di sebaliknya akan menjejaskan perpaduan kaum dan pembentukan negara bangsa yang selama ini telah dibina.
“Ia juga bercanggah dengan 5 aspirasi pendidikan yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, terutamanya keberhasilan dalam mengecilkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, serta menggugat perpaduan rakyat akibat silibus pembelajaran yang berbeza.”