Tempatan

Ucaptama PM Bukan Bermaksud Iktiraf LGBT – Ustaz Engku Ahmad Fadzil

KUALA LUMPUR – Ustaz Engku Ahmad Fadzil menegaskan, kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucaptamanya sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital Asean Pertama (ADGMIN1) tidak boleh dianggap mengiktiraf secara langsung golongan LGBT Malaysia.

Namun, ia membuka ruang untuk disalaherti dan diputarbelitkan seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini.

“Kenyataan YAB PM tidak boleh dianggap mengiktiraf secara langsung golongan LGBT Malaysia, namun ia boleh disalahertikan demikian, bahkan terbuka untuk diputarbelitkan demikian. Ini jelas, misalnya, di dalam laporan Malaysiakini, kenyataan YAB Perdana Menteri itu didakwa kononnya bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary bahawa ada kemungkinan untuk meminda undang-undang ke arah lebih tegas dalam penguatkuasaan terhadap golongan Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT).”

Katanya lagi kepada Samudera.my, dakwaan portal Malaysiakini mengelirukan kerana, ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam meminda dan menggubal undang-undang lebih tegas terhadap kesalahan sesuatu jenayah adalah berbeza sama sekali dengan skop ucapan berunsur kebencian.

“Dakwaan Malaysiakini ini jelas mengelirukan, bahkan tidak mustahil mempunyai agenda tersirat, kerana cadangan pindaan undang-undang untuk memperuntukkan hukuman yang lebih tegas terhadap sesuatu kesalahan jenayah sama sekali terkeluar dari skop ucapan berunsur kebencian “hate speech”.”

Menurut Ustaz Engku, kenyataan Muhyiddin bukanlah satu bentuk kritikan tidak langsung kepada enakmen jenayah Syariah kerana, memperkasakan peruntukan-peruntukan di dalam enakmen jenayah Syariah sama sekali tidak termasuk di dalam ucapan berunsur kebencian.

“Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, sepatutnya itu tidak berlaku, kerana melaksanakan, bahkan memperkasakan peruntukan-peruntukan di dalam enakmen jenayah Syariah sama sekali tidak termasuk di dalam “ucapan berunsur kebencian”.”

“Sepatutnya dari awal, perbezaan antara “hate speech” seperti menyeru, misalnya, agar ahli-ahli masyarakat mengambil tindakan-tindakan di luar dari batasan undang-undang (taking the law into own hands) seperti menyeru orang ramai untuk mencederakan atau bertindak ganas terhadap golongan LGBT ini dan “freedom of speech” seperti menyeru, misalnya, agar undang-undang mengekang kesalahan jenayah seksual diperkasakan hendaklah diperjelaskan.”

“Maksudnya perbezaan antara “hate speech” dan “freedom of speech”  (bahkan boleh jadi kewajiban) perlulah ditegaskan dengan jelas. Tentu sekali, misalnya, antara menyeru orang ramai agar mereka mencederakan, apatah lagi membunuh, pemandu mabuk berbeza dengan menyeru agar hukuman terhadap pemandu mabuk dikuatkuasakan dengan lebih tegas atau agar hukuman lebih berat dan berkesan diperuntukkan untuk pesalah memandu di dalam keadaan mabuk.”

Mengulas mengenai orientasi seksual dari sudut pandangan undang-undang Malaysia, Pengarah HatiMurni Sdn Bhd (HatiMurni Enrichment Transit Centre) itu berkata, hanya orientasi seksual yang tabie sahaja diiktiraf dan dibenarkan di Malaysia, bukan yang songsang.

“Di Malaysia, orientasi seksual yang tabie diiktiraf dan dibenarkan untuk disalurkan melalui cara-cara yang tidak melanggar undang-undang dan adab kesopanan.”

“Namun orientasi seksual songsang tidak diiktiraf oleh undang-undang, bahkan sekiranya dizahirkan melalui perbuatan-perbuatan tertentu merupakan kesalahan jenayah syariah dan juga perlakuan-perlakuan seks tertentu yang didorong oleh orientasi seks songsang ini juga merupakan kesalahan-kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.”

Bahkan, perundangan Malaysia telah menetapkan, jantina seseorang itu dinilai berdasarkan jantina asal kelahiran, bukan mengikut kecenderungan nafsu seseorang.

“Di sisi undang-undang Malaysia, jantina seseorang juga ditentukan mengikut jantina lahir dan bukan mengikut kecenderungan nafsu seseorang samada ingin menjadi lelaki atau wanita tanpa mengira jenis alat kelamin asal orang berkenaan.”

Apabila ditanya sama ada bolehkah kenyataan Muhyiddin dalam ucaptamanya itu disifatkan seolah-olah tidak menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama negara dan kedudukan sultan-sultan sebagai ketua agama di negeri-negeri Malaysia, Ustaz Engku berkata,

“Ya, kalau dikatakan “seolah-olah”, memang ia boleh dilihat “seolah-olah” demikian. Maksudnya, sekiranya gesaan YAB Perdana Menteri agar negara-negara Asean mengambil sikap yang lebih tegas terhadap ucapan berunsur kebencian, termasuk gangguan berdasarkan gender atau orientasi seksual serta mempromosi keganasan melalui platform digital ditafsirkan sebagai halangan untuk menolak dan mengkritik kecelaruan identiti gender dan kesongsangan orientasi seksual, maka tafsiran sebegini jelas bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama negara dan kedudukan Sultan-Sultan sebagai Ketua Agama Negeri-Negeri di Malaysia.”

Oleh itu, Ustaz Engku menyeru agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerangkan semula maksud sebenar ucapannya agar tiada mana-mana pihak yang boleh memutarbelit serta memanipulasikan keadaan mengikut acuan songsang mereka.

“Tentu sekali YAB Perdana Menteri perlu memberikan penerangan semula yang jelas dan tuntas kepada rakyat Malaysia, bahkan kepada dunia, untuk mematikan persepsi negatif yang boleh dimanipulasikan oleh pihak-pihak berkepentingan berkaitan sikap Malaysia terhadap masalah kecelaruan gender dan orientasi seksual songsang.”


“Penerangan semula ini juga penting demi untuk mengelakkan backlash terhadap kepimpinan beliau terutamanya daripada kalangan akar umbi umat Islam yang nampaknya sudah mula bising dan mengkritik ucaptama longgar sedemikian yang boleh dimanipulasikan apa yang tersurat sesuai dengan selera tersirat pelampau-pelampau orientasi seks dan kecelaruan gender.”

Mengakhiri temuramah, Ustaz Engku Ahmad Fadzil berharap agar, teks ucapan Perdana Menteri selepas ini disediakan dengan cermat menggunakan istilah yang betul, jelas dan difahami bagi mengelakkan berlakunya salah faham.

“Ucapan YAB Perdana Menteri sepatutnya disediakan dengan lebih cermat kerana istilah “hate speech” kerap disalahgunakan untuk mendiamkan hak kebebasan menyatakan pandangan dan meluahkan kebimbangan yang sah dan wajar. Sebaliknya slogan hak kebebasan bersuara pula disalahgunakan untuk menghalalkan aktiviti-aktiviti “hate speech” yang sebenar.”

Portal Malaysiakini baru-baru ini melaporkan, ucapatama perdana menteri dalam ADGMIN1 jelas bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary yang mahu meminda undang-undang lebih tegas dalam penguatkuasaan terhadap golongan Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT).

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button