Ubat Batuk Maut: Keluarga Saman Kerajaan Minta Pampasan RM57 Ribu Setiap Mangsa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JAKARTA, 02 Disember 2022 – Susulan insiden kematian akibat pengambilan ubat batuk sirap yang menggemparkan Indonesia tahun ini, keluarga mangsa bertindak menyaman kerajaan negara itu sekali gus meminta pampasan RM57 ribu bagi setiap mangsa korban.
Pampasan tersebut yang dituntut melalui pihak mahkamah menyasarkan Kementerian Kesihatan Indonesia, Agensi Makanan dan Ubatan Indonesia (BPOM) serta tujuh syarikat yang terlibat dalam penjualan ubat tersebut.
Awan Puryadi, saudara kepada mangsa mengatakan bahawa tindakan diambil kerana pihak berkuasa gagal menghalang penjualan ubat-ubatan berbahaya yang seterusnya menyebabkan kematian atau kecederaan kepada kanak-kanak.
“Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab. Mereka sangat kecewa dengan keadaan semasa,” luahnya mengenai tuntutan mahkamah yang difailkan pada 18 November lalu.
Dalam pada itu, keluarga mangsa meminta pampasan sekitar 2 bilion rupiah untuk setiap mangsa yang terkorban dan sekitar 1 bilion rupiah untuk mangsa cedera, kata peguam.
Negara Asia Tenggara itu telah menyaksikan peningkatan dalam kes kecederaan buah pinggang akut sejak Ogos, dengan kematian sekurang-kurangnya 199 mangsa yang majoritinya dari kalangan kanak-kanak.
Sebelum ini, pihak polis telah menjalankan siasatan ke atas sekurang-kurangnya tiga syarikat yang mempunyai lesen mengeluarkan ubat sirap namun telah dibekukan buat sementara waktu.
Samudera.my juga pernah melaporkan, pemerintah Indonesia telah mengharamkan penggunaan ramuan dalam penghasilan ubat batuk yang dikatakan menjadi punca kes kematian 70 kanak-kanak di The Gambia.