UAE Biaya Pembinaan Stadium Israel Di Tanah Rampasan Milik Palestin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KAFR QASIM, 27 Julai 2022 – Sebuah syarikat kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk menaja kos pembinaan stadium bola sepak di bandar Kafr Qasim, sebuah tanah rampasan milik rakyat Palestin, dedah akhbar Israel.
Menurutnya, syarikat kerajaan UAE telah menandatangani sebuah perjanjian dengan Menteri Kerjasama Serantau Israel, Issawi Freij sekali gus bersetuju untuk membiayai sepenuhnya kos projek tersebut.
Stadium itu akan dinamakan “Khalifa” dan dibina di atas runtuhan sebuah kampung yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin serta telah mengorbankan 51 nyawa lebih 60 tahun lalu.
Freij mendapat ‘lampu hijau’ untuk membina stadium berkenaan daripada para pegawai Saudi dan dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang. Lapor Al-Jazeera, stadium tersebut juga akan menyediakan sebanyak 8,000 tempat duduk.
Berita mengenai pembiayaan penuh UAE untuk membina stadium di atas runtuhan perkampungan Palestin ini telah mengundang kemarahan netizen di laman Twitter.
Seorang pengguna Twitter meluahkan kekesalannya dengan mengatakan, “Demi Allah… Wahai Emiriah adakah ini wajar? Kami berharap kamu akan menerima sebuah pasukan Arab dan membina stadium di dalamnya…”
— komod1@alarabi11 (@alarabi113) July 25, 2022
Seorang pengguna lain turut mengatakan, “Tiada daya upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung… Tiadakah di antara kamu seorang yang berakal?”
لا حول و لا قوة إلا بالله العلي العظيم.. أليس فيكم رجل رشيد؟ 😥😥
— إيناس البدين Inas Albadeen (@AlbadeenInas) July 26, 2022
Bandar Kafr Qasim meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan rakyat Palestin berikutan insiden pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan pengawal sempadan Israel pada tahun 1956. Insiden berdarah itu mengakibatkan kematian 51 penduduk bandar tersebut termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.