Twitter Heret Kerajaan India Ke Mahkamah Kerana Paksa Buang Tweet
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KARNATAKA, 15 Julai 2022 – Twitter mengambil tindakan mengheret kerajaan India ke Mahkamah TInggi Karnataka ekoran arahan kerajaan pimpinan Narendra Modi itu agar pihak Twitter membuang beberapa hantaran yang tidak sesuai dengan selera mereka.
Twitter membawa isu ini di peringkat pengadilan setelah kerajaan India menggertak para eksekutif Twitter dengan tuduhan jenayah sekiranya mereka gagal untuk mematuhi arahan tersebut, menurut laporan media.
Saman ini adalah sebahagian daripada siri konfrontasi yang sedang berkembang di antara Twitter dan kerajaan India setelah pihak kerajaan meluluskan rang undang-undang untuk memberi mereka lebih kuasa untuk mengawal isi kandungan di media sosial pada tahun lalu.
Undang-undang baru ini memaksa syarikat-syarikat untuk memadam atau menyekat isi kandungan media sosial yang dianggap melanggar undang-undang oleh pihak berkuasa.
Menurut enakmen ini, para pekerja laman web media sosial boleh didakwa atas tuduhan jenayah sekiranya gagal mematuhi arahan kerajaan.
“Adalah tanggungjawab setiap orang untuk mematuhi undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen negara,” tegas Menteri Teknologi Maklumat, Ashwini Vaishnaw.
Pada tahun lepas, kerajaan India didedahkan pernah meminta Twitter untuk meyekat akaun dan tweet daripada para wartawan, ahli politik, dan penggerak masyarakat sivil.